Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prasekolah, penyedia jagaan kesihatan, pusat beli-belah ikhtiar bagi pelanggan belum divaksin

Cik Siti Hamzah misalnya, yang 3 bulan menunggu kelulusan dapatkan vaksin bukan mRNA, berkata langkah-langkah terbaru itu tidak adil bagi mereka yang ingin divaksin namun berdepan kesukaran atas sebab kesihatan dan alahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Prasekolah, penyedia jagaan kesihatan, pusat beli-belah ikhtiar bagi pelanggan belum divaksin

(Gambar fail: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 12 Oct 2021 12:17PM Dikemas Kini : 12 Oct 2021 01:37PM

SINGAPURA: Prasekolah dan penyedia penjagaan kesihatan yang terletak di pusat beli-belah menyatakan bahawa pihak mereka sedang mempertimbangkan protokol untuk menyesuaikan diri dengan langkah-langkah perbezaan baru mengikut status vaksinasi yang diumumkan pada Sabtu (9 Okt).

Antara langkah yang dipertimbangkan termasuk khidmat menjemput di pintu masuk pusat belibelah untuk kanak-kanak yang ibu bapanya belum divaksin atau meminta pesakit mengambil ujian praacara sebelum datang berjumpa doktor.

Perniagaan-perniagaan itu terpinga-pinga memikirkan bagaimana mereka dapat terus menyediakan khidmat untuk pelanggan mereka yang belum divaksin dan sekarang menunggu pihak berkuasa mendedahkan kelonggaran apa yang akan dibuat untuk membolehkan pelanggan yang belum divaksin memasuki pusat beli-belah bagi khidmat-khidmat tersebut.

Mereka yang belum divaksin pula menyuarakan kemarahan dan kekecewaan terhadap langkah terbaru itu dan menyifatkannya sebagai tidak adil.

Kementerian Kesihatan (MOH) mengumumkan pada Sabtu bahawa mereka yang belum divaksin tidak akan dibenarkan memasuki pusat beli-belah dan tempat daya tarikan mulai Rabu (13 Okt). Mereka juga tidak akan dapat menjamu selera di mana-mana kedai.

Bagaimanapun, pasar raya besar akan dikecualikan daripada langkah terbaru itu.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah, pesakit COVID-19 yang sudah pulih dan individu yang belum divaksin dengan keputusan negatif ujian praacara yang sah juga dikecualikan.

Tempoh kelonggaran selama satu minggu akan diberikan kepada pusat beli-belah untuk melaksanakan langkah-langkah tersebut mulai Rabu ini hingga 19 Oktober, menurut pihak berkuasa pada Ahad (10 Okt).

Pihak berkuasa menambah bahawa "kelonggaran akan diberi" kepada individu yang belum divaksin untuk mengakses khidmat perubatan dan jagaan anak di pusat beli-belah.

Pihak berkuasa menambah pada Isnin bahawa pegawai penguat kuasa jarak selamat akan melakukan pemeriksaan "berpilih" ke atas status vaksinasi COVID-19 pelanggan apabila peraturan baru di pusat penjaja dan kedai kopi berkuat kuasa.

LANGKAH BARU, PROTOKOL BARU

Perniagaan-perniagaan yang dihubungi Mediacorp menyatakan bahawa mereka bimbang bagaimana langkah-langkah itu akan menjejas operasi mereka.

Cik Liani, pengurus LEAP SchoolHouse di City Square Mall, berkata bahawa pengumuman pada Sabtu berlaku "begitu tiba-tiba" dan hanya memberi sedikit masa kepada tadika untuk mewujudkan sebarang protokol baru.

Sebagai contoh, beliau tidak pasti bagaimana anak-anak yang ibu bapanya belum divaksin dapat diiringi ke pusatnya, yang berada di tingkat besmen pusat beli-belah itu.

Murid-muridnya berumur antara dua dengan enam tahun, jadi kebanyakannya terlalu muda untuk dibiarkan tanpa pengawasan.

Untuk mengerahkan kakitangan ke pintu masuk pusat beli-belah untuk menjemput anak-anak seperti itu adalah satu pilihan sukar, katanya, kerana masalah keselamatan mungkin timbul kerana kakitangan mungkin tidak dapat mengawasi begitu ramai kanak-kanak sekaligus.

"Kami tidak dapat melakukannya kerana bertentangan dengan protokol," kata Cik Liani, yang lebih selesa tidak mendedahkan nama penuhnya.

Berkongsi kebimbangannya, pengetua MindChamps PreSchool Jonelle Ng berkata jika ibu bapa yang belum divaksin tidak dibenarkan masuk, maka sekolah akan mempertimbangkan untuk menghantar kakitangan untuk menjemput anak-anak di pintu masuk pusat beli-belah.

Namun ini boleh menyebabkan sekolah itu, yang juga terletak di City Square Mall, perlu melakukan kerja tambahan bukan hanya dalam mengambil kanak-kanak, tetapi juga dari segi kertas kerja seperti borang perlindungan untuk ditandatangani oleh ibu bapa.

Bagi langkah berjaga-jaga tambahan ini, beliau berharap "ibu bapa akan faham".

Seperti Cik Liani, Cik Ng berkata bahawa pusat beli-belah tersebut tidak menghubungi sekolah mengenai protokol baru yang perlu dipatuhi.

"Akhirnya, kami dan ibu bapa akan mencari satu huraian, tetapi kami perlu mengikuti nasihat (kesihatan)," kata Cik Ng. "Saya harap ada beberapa pengecualian yang dibuat."

PENGECUALIAN BAGI DAPATKAN KHIDMAT PENTING?

Syarikat-syarikat lain yang menyediakan khidmat penting, seperti pakar optometri dan penyedia khidmat jagaan kesihatan, juga berkata bahawa mereka sedang menunggu arahan daripada pusat beli-belah di mana mereka berada.

Pemilik cawangan Precision Optics di United Square di Novena, yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Song, mengatakan bahawa pihaknya boleh menghantar kanta preskripsi dan produk lain ke rumah pelanggan yang belum divaksin, tetapi tidak dapat melakukan pemeriksaan mata di kedai.

Beliau menjangkakan jumlah pelanggan akan menjunam 10 peratus, bersandarkan pada kadar vaksinasi penduduk Singapura.

Cawangan di United Square itu merupakan satu-satunya di Singapura, jadi tiada kedai di luar pusat beli-belah untuk pelanggan yang belum divaksin, katanya.

Cik Nancy Lim, pengurus cawangan di Pusat Pergigian Q&M di City Square Mall, berkata bahawa pada akhirnya, pusat beli-belah yang akan membuat keputusan sama ada untuk membiarkan pesakit yang belum divaksin masuk atau tidak dan pemeriksaan tidak akan dilakukan di klinik.

"Sekiranya seseorang pesakit tiba dan memerlukan rawatan segera, kami tidak dapat menolaknya," katanya.

Seorang wakil daripada penyedia khidmat kesihatan di Paragon Mall, yang tidak mahu syarikatnya didedahkan kerana beliau tidak diberi kebenaran untuk bercakap dengan media, berkata bahawa pesakit yang belum divaksin sepatutnya dibenarkan masuk ke pusat beli-belah untuk mendapatkan rawatan perubatan.

"Saya tidak rasa Pemerintah akan menghalang orang yang memerlukan jagaan kesihatan," katanya. "Saya rasa itu akan diperjelas, satu-satunya cara untuk melakukannya adalah dengan mengecualikan pesakit (belum divaksin) seperti itu."

Mediacorp sudah menghubungi Kementerian Perdagangan dan Perusahaan serta Enterprise Singapore untuk mendapatkan perincian mengenai jenis pengecualian yang akan dibuat bagi orang mereka belum mendapatkan vaksin namun perlu mengakses khidmat-khidmat tersebut, dan diberitahu bahawa ini akan diperjelaskan dalam nasihat yang akan diterbitkan sebelum Rabu.

LANGKAH-LANGKAH TERKINI ‘TIDAK ADIL’, 'MENGECEWAKAN': INDIVIDU BELUM DIVAKSIN

Tidak lama selepas langkah-langkah baru diumumkan pada Sabtu, anggota dalam kumpulan sembang antivaksin di Telegram menyuarakan kekecewaan mereka.

Ada yang menyifatkan tindakan baru itu melampau, bersifat diskriminasi dan lebih ketat berbanding sekatan yang dikenakan dalam tempoh pemutus rantaian jangkitan dari April hingga Jun tahun lalu, semasa kegiatan makan di luar dilarang untuk semua orang.

Reaksi mereka serupa dengan individu belum divaksin yang dihubungi Mediacorp. Mereka yang ditemu bual sama ada tidak layak dari segi perubatan untuk mengambil vaksin atau memilih untuk tidak diberi vaksin.

Cik Siti Hamzah, yang menderita kesan sampingan teruk daripada suntikan vaksin Pfizer pertamanya pada Jun, menyebut tindakan itu "sangat tidak adil".

Beliau berkata bahawa MOH belum meluluskan permintaannya untuk mendapatkan vaksin Sinovac di bawah laluan akses khas, yang dikemukakannya tiga bulan yang lalu.

Di bawah laluan ini, mereka yang tidak dapat mengambil vaksin mRNA kerana alahan yang teruk boleh menerima vaksin Sinovac secara percuma di klinik swasta yang diluluskan.

"Sekiranya anda ingin mengehadkan orang yang belum divaksinasi, itu tiada masalah tetapi berilah vaksin kepada mereka yang menginginkan (vaksin) terlebih dahulu sebelum anda melaksanakan sekatan ini," ujar Cik Siti.

Cik Siti berkata bahawa selepas pengumuman langkah-langkah itu, beliau membuat aturan untuk dapatkan suntikan Sinopharm dengan harga sekitar S$100 di sebuah klinik swasta hari ini (12 Okt).

Cik Daphne Koh, seorang suri rumah berusia 43 tahun, menggambarkan langkah-langkah itu sebagai "gangguan yang sangat besar terhadap kehidupan keluarga".

Cik Koh, yang memilih untuk tidak mendapatkan vaksin kerana kekurangan data jangka panjang mengenai kesannya, berkata bahawa beliau tidak akan dapat menjalankan tugas atau membawa anak-anaknya ke kelas tuisyen. Pusat tuisyen yang mereka hadiri terletak di sebuah pusat beli-belah.

Cik Koh menyarankan bahawa daripada memisahkan orang berdasarkan status vaksinasi mereka saja, Pemerintah sepatutnya laksanakan langkah berbeza berdasarkan profil risiko mereka seperti gabungan usia dan status vaksin.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan