Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Prasekolah diberi lebih sumber untuk sokong peluang pembelajaran luar darjah

Menteri MSF Desmond Lee umumkan juga program bantuan KidSTART akan diperluas 5 kali ganda untuk bantu lebih ramai keluarga susah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Sep 2019 09:25PM Dikemas Kini : 13 Sep 2019 09:41PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, cabaran balapan rintangan mudah yang diperbuat daripada bahan kitar semula dan "dinding alat muzik" daripada periuk belanga lama mungkin akan membuat kemunculan di beberapa estet HDB. Ia sebahagian usaha untuk mempertingkat pengalaman pembelajaran di luar darjah bagi sektor pendidikan awal kanak-kanak.

Berucap di Persidangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak 2019 pada Jumaat (13 Sep), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Desmond Lee berkata pembelajaran luar darjah mempunyai "manfaat besar" bagi pembangunan kanak-kanak.

Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) menyatakan antara manfaatnya termasuk meningkatkan tahap kesihatan dalam kalangan kanak-kanak, selain memperkukuh pendidikan dan pembangunan mereka.

Encik Lee menarik perhatian bahawa tahun lalu, sebuah Jawatankuasa Pembelajaran Luar Darjah dibentuk oleh beberapa agensi pemerintah - termasuk Kementerian Pendidikan (MOE) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) - serta para pengendali prasekolah dan karyawan pendidikan awal kanak-kanak, untuk mengkaji bagaimana pembelajaran luar darjah boleh dipertingkat di Singapura.

Dua prototaip ruang pembelajaran luar darjah akan dilancarkan di Bukit Batok dan Jurong West untuk menilai bagaimana prasekolah sedia ada di estet-estet HDB dapat memanfaatkan sekitaran di luar sekolah mereka bagi peluang pembelajaran.

Di Jurong West, beberapa langkah akan diperkenalkan untuk membolehkan kanak-kanak dan para guru bergerak dengan lebih mudah dari dalam ke luar darjah.

Prototaip di Bukit Batok pula bertujuan membina "jejak pembalajaran luar darjah" di estet-estet HDB, seperti membina taman pembelajaran masyarakat atau balapan penghalang mudah menggunakan barang-barang yang dikitar semula.

Sementara itu, ECDA, MOE dan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC) sudah membangunkan sumber seperti kursus-kursus serta wadah menyimpan idea-idea cara mengajar untuk membantu para pendidik menyediakan peluang pembelajaran luar darjah untuk kanak-kanak.

Pada tahun depan, NIEC juga akan memperkenalkan kursus-kursus pembangunan profesional yang baru berhubung pembelajaran luar darjah, yang akan bantu memperkukuh kemahiran para pendidik dalam melakar dan mengendali pengalaman pembelajaran luar darjah sewajarnya bagi kanak-kanak berusia sehingga enam tahun.

PROGRAM KIDSTART DIPERLUAS MULA APRIL 2020

Encik Lee turut mengumumkan bahawa program KidSTART, yang buat masa ini memanfaatkan 1,000 kanak-kanak dari keluarga bergaji rendah, akan diperluaskan bermula April depan kepada lagi 5,000 kanak-kanak.

Tambahan itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri Lee Hsien Loong di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ogos.

Program itu yang menyokong dan menasihatkan keluarga memerlukan berkenaan isu seperti pembangunan kanak-kanak dan sokongan prasekolah akan dikembangkan kepada bidang-bidang lain.

Keutamaan diebrikan kepada bidang-bidang di mana MSF menyokong keluarga dalam flat-flat sewa menerusi inisiatif ComLink yang dilancarkan awal tahun ini untuk menyediakan sokongan bersepadu kepada keluarga-keluarga seperti di Kembangan-Chai Chee dan Marsiling.

Encik Lee turut mengumumkan had pendapatan keluarga bagi KidSTART akan dinaikkan dari S$1,900 kepada S$2,500 untuk membolehkan lebih ramai kanak-kanak dan keluarga mereka meraih manfaat program tersebut.

Beliau menambah, dengan sokongan Yayasan Temasek, ECDA juga sedang bekerjasama dengan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS) untuk membangunkan latihan bagi bidang-bidang pendidikan awal kanak-kanak, kesihatan dan kerja sosial. Ini agar sokongan bagi keluarga-keluarga di bawah program KidSTART dapat diperkukuh.

Encik Lee berkata, ini semua demi menjadikan pendidikan prasekolah lebih bersifat inklusif.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan