Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS tubuh dana S$150,000 bantu wanita Muslim harungi COVID-19

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) hari ini (8 Apr) mengumumkan penubuhan dana bernilai S$150,000 bagi membantu kaum wanita Muslim mengharungi masa sukar ini dan memastikan tiada wanita tertinggal di belakang akibat situasi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) hari ini (8 Apr) mengumumkan penubuhan dana bernilai S$150,000 bagi membantu kaum wanita Muslim mengharungi masa sukar ini dan memastikan tiada wanita tertinggal di belakang akibat situasi COVID-19.

Ini termasuk bagi mereka yang hilang pekerjaan atau terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anggota keluarga mereka yang uzur.

Penubuhan Dana Wanita Memerlukan atau PPIS WIN itu diumumkan pada Selasa (7 Apr) oleh Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) merangkap Pendidikan Profesor Madya Faishal Ibrahim di Parlimen.

Dalam ucapannya, Dr Faishal mengulangi perlunya sokongan bagi golongan wanita yang hilang pekerjaan mereka akibat situasi COVID-19 atau mereka yang terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ahli keluarga yang uzur.

Sepanjang dua bulan lalu, pekerja sosial PPIS di enam pusat khidmat keluarga persatuan itu sudah mengenal pasti wanita dan keluarga yang sama ada tidak layak menerima skim-skim nasional kerana melebihi kriteria ditetapkan tetapi mempunyai pelbagai tanggungjawab seperti menjaga ibu bapa tua dan mempunyai banyak anak.

Ada juga yang bekerja dalam industri yang terjejas dengan COVID-19 dan gaji mereka dikurangkan atau diberhentikan kerja.

Dalam kalangan wanita dan keluarga itu terdapat ju yang mempunyai anak atau ibu bapa dikenakan notis ketidakhadiran (LOA) atau notis Jangan Keluar Rumah (SHN) lantas menjejas hasil pendapatan keluarga.

Berikut adalah kriteria kelayakan bagi Dana WIN PPIS:

  • Wanita Muslim rakyat Singapura/Penduduk Tetap
  • Wanita Muslim bukan rakyat Singapura/ Penduduk Tetap yang mempunyai pasangan/ibu bapa/anak rakyat Singapura
  • Hilang pekerjaan atau mempunyai anggota keluarga yang hilang pekerjaan, menyebabkan hasil pendapatan keluarga merosot selepas 23 Jan 2020
  • Mempunyai hasil pendapatan kasar (GHI) tahunan S$6,500 - S$9,000 dan/atau pendapatan per kapita (PCI) antara S$1,700 - S$2,000 selepas keluarga terjejas oleh COVID-19
  • Mempunyai anak yang masih bersekolah dan/atau ibu bapa berusia menetap di rumah yang sama

Dana WIN PPIS itu juga diharap dapat digunakan untuk membantu golongan wanita untuk memulakan perniagaan online atau dari rumah.

Bagi tujuan itu PPIS akan bekerjasama dengan DEWI, cabang wanita Dewan Perniagaan can Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Dana itu turut dibuka kepada mereka yang ingin menajamkan kemahiran tetapi perlukan bantuan dana untuk mengikuti program SkillsFuture.

Menurut Presiden PPIS Rahayu Mohamed: "PPIS berharap untuk memperkasa golongan wanita menerusi dana ini dan mengatasi tempoh sukar ini.

"Kami mahu sama-sama menempuh perjalanan mereka dalam mencapai cita-cita dan aspirasi mereka. Dana ini akan disediakan selama setahun. Kita kekal bersatu dalam mengatasi tempoh sulit ini."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan