Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS: Tekanan hilang pekerjaan boleh cetus keganasan keluarga semasa 'circuit breaker'

Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faisahal Ibrahim melahirkan kebimbangan kes-kes keganasan keluarga "berpotensi meningkat" semasa tempoh "circuit breaker" sekarang ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Parlimen Kanan Pembangunan Sosial dan Keluarga Dr Faisahal Ibrahim melahirkan kebimbangan kes-kes keganasan keluarga "berpotensi meningkat" semasa tempoh "circuit breaker" sekarang ini.

Namun beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya, pihak polis dan agensi-agensi masyarakat "sudah bersedia"untuk membantu mangsa-mangsa keganasan keluarga.

Demikian menurut Dr Faishal dalam catatan Facebooknya hari ini (16 Apr).

Para pekerja sosial Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) adalah antara yang sudah bersedia untuk menghulurkan bantuan.

(Gambar: Facebook/PPIS)

PPIS TERUSKAN USAHA BANTU GOLONGAN LEMAH

Banyak negara dunia seperti China, Sepanyol, Turki dan Britain kini melaporkan peningkatan pada kes-kes keganasan keluarga setelah pelbagai langkah sekatan perjalanan dan perintah berkurung dilaksanakan.

Itu jugalah yang dikhuatiri berlaku di Singapura.

Antara badan yang sedang aktif memantau isu itu termasuklah para pekerja sosial PPIS.

Ia kini lebih kerap menelefon klien-kliennya menerusi panggilan-panggilan video khususnya bagi golongan bermasalah atau berisiko demi menjaga keselamatan mereka.

Kanak-kanak kecil, orang lanjut usia, mereka yang kurang upaya serta keluarga berpendapatan rendah, tetap dipantau dengan kerap.

"Dengan adanya panggilan video telefon, kami dapat melihat mereka dan di situ kami boleh membuat penilaian yang lebih menyeluruh dan kami juga dapat melihat keadaan rumah mereka.

"Di situ kami dapat memastikan sama ada mereka mendapatkan sokongan yang mereka perlukan dan sekiranya kami rasa sokongan tidak mencukupi atau mereka memerlukan bantuan yang lebih, kami akan membuat rujukan yang selanjutnya," kongsi Pekerja Sosial Utama Pusat Khidmat Keluarga PPIS, Cik Nasriah Nasir.

80% UTARAKAN MASALAH KEWANGAN

Cik Nasriah juga berkongsi bahawa 80% daripada klien yang menghubungi pihaknya menerusi emel dan panggilan mengutarakan tentang masalah kewangan.

"Jadi mereka dibuang kerja, atau mereka gajinya dipotong. Jadi kestabilan kewangan itu terjejas. Dari situ mereka bimbang tentang pengendalian seharian mereka – bil-bil rumah, macam mana hendak cukupkan keperluan-keperluan anak-anak mereka.

"Malahan mereka bukan sahaja bimbang tentang kestabilan mereka sewaktu pemutus lingkaran ini, mereka juga risau yang kestabilan kewangan mereka itu akan berterusan apabila pemutus lingkaran ini sudah berakhir juga," jelasnya.

BERPOTENSI CETUS KEGANASAN DOMESTIK

Masalah hilang kerja, pembayaran bil rumah, keperluan keluarga semuanya berpotensi menjadi pencetus tekanan dan keganasan dalam keluarga jika tidak diberi perhatian semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan COVID-19 ini.

"Ada di kalangan mereka yang tinggal di rumah sewa yang kecil, jadi bila ada masa mereka ada ramai ahli keluarga dalam satu rumah, ini boleh mendatangkan tekanan, boleh mendatangkan kemarahan bila ramai-ramai itu dalam satu rumah sepanjang hari dan ini boleh mendatangkan risiko keselamatan iaitu risiko pengganasan keluarga," tambahnya.

Dalam berdepan dengan risiko-risiko sebegitu, Dr Faishal menasihatkan mangsa-mangsa keganasan domestik, supaya mendapatkan bantuan dengan menghubungi polis ataupun talian National CARE untuk mendapatkan sokongan daripada para kaunselor.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan