Images
  • ppis okletsgo2
    PPIS mengeluarkan kenyataan setelah ramai mengulas soal OKLETSGO. (Gambar-gambar fail: PPIS, OKLETSGO/Facebook) 

PPIS tegur OKLETSGO: Perbincangan kritikal boleh dilakukan "secara bertanggungjawab dan penuh hormat"

SINGAPURA: Apabila sangat dikenali masyarakat, ada tanggungjawab yang perlu dipikul, terutama sekali di tempat mahupun platform awam seperti media sosial.

Demikian teguran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) terhadap podcast tempatan, OKLETSGO, menerusi kenyataannya hari ini (14 Jun).

Saluran podcast OKLETSGO dikritik hebat baru-baru ini kerana komen yang dikeluarkan dikatakan sering kali tidak sensitif, terutama sekali terhadap golongan wanita.

Menerusi catatan-catatan di Facebook dan Twitter, ramai tidak menafikan banyak isu dihadapi masyarakat Melayu/Islam dirungkai dengan baik untuk dijadikan renungan di saluran Spotify itu.

Malangnya, penyampai di OKLETSGO didakwa beberapa kali memaparkan sikap yang menghina dan memperlekehkan kaum Hawa. Ada juga yang menyuarakan kebimbangan OKLETSGO akan membawa pengaruh buruk terhadap masyarakat dan generasi muda.

Sebagai pertubuhan yang berusaha memartabatkan kedudukan wanita dalam masyarakat, PPIS akur sememangnya penting untuk masyarakat mempunyai wadah perbincangan kritikal tetapi mengadakannya "secara bertanggungjawab dan penuh hormat", juga sama penting, tegasnya.

"Kami percaya perbicangan kritikal perlu diteruskan demi menyatukan orang ramai, bukan memecahbelahkan masyarakat. Sesetengah komen yang dikeluarkan tidak selaras dengan perbincangan membina yang kami galakkan," menurut PPIS.

Persatuan itu menambah, misinya selama ini adalah untuk menyuntik inspirasi dalam kalangan wanita dan memperkukuh institusi-institusi keluarga di sini. Maka itu, ia percaya "perlu ada perbincangan positif dan perbualan membina yang berupaya memartabatkan masyarakat, terutama sekali wanita".

"Kami berharap masyarakat-masyarakat online boleh bekerjasama dengan kami, untuk mewujudkan norma baru di mana kita merenung dan mempelajari semula (isu ini) agar perubahan dapat dicapai," tambah PPIS lagi.  

- BERITAmediacorp/aq

Top