Images
  • Photo 4_PPIS
    Muhammad Naufal Abdullah, alumni Pusat Jagaan Pelajar PPIS Bedok. (Gambar-gambar: PPIS)

PPIS seru masyarakat bantu perhebat usaha

SINGAPURA: Kadangkala kehidupan memaksa kita mengambil sesuatu langkah demi kebaikan jangka panjang. Lantaran itu, keputusan seorang ibu tunggal untuk menghantar anaknya ke Pusat Jagaan Pelajar PPIS kini menunjukkan kesan-kesan amat positif dalam diri satu-satunya anak beliau.

Kira-kira enam tahun lalu, Muhammad Naufal Abdullah, adalah seorang yang cepat marah. Malah, beliau juga sering membuli rakan-rakan sekolahnya tanpa sebab. Namun, berkat bantuan dan panduan kakitangan serta sukarelawan Pusat Jagaan Pelajar PPIS Bedok yang dihadiri Naufal, kehidupan beliau berubah 360 darjah.

“Semasa mula-mula saya ke sana, saya ingatkan kakak-kakak semua garang. Waktu baru-baru datang saya seorang yang sangat pemalu. Tak ada keyakinan diri,” kata Naufal.

Perlahan-lahan, Naufal mula berkawan dan memberanikan diri menyertai kegiatan-kegiatan yang disusun untuknya setiap hari di pusat tersebut. Beliau yang kini berusia 13 tahun, lebih berkeyakinan diri dan menonjolkan ciri-ciri kepimpinan sehingga dilantik menjadi pengawas, dijadikan peran contoh dalam kalangan para pelajar di sekolahnya.

Sikap kepimpinan yang ditonjolkan itu membuatkan dirinya disayangi rakan-rakan dan sentiasa dipilih untuk menerajui tugasan-tugasan berpasukan di PPIS. Naufal juga menggalas tanggungjawab sebagai imam bagi solat jemaah di sana.

“Kalau saya tidak dihantar ke PPIS dulu, mungkin sekarang saya jadi samseng. Di PPIS, mereka ajarkan saya kemahiran menjadi pemimpin, bagaimana nak mengawal emosi. Tempat itu membantu saya mengubah sikap saya,” kongsi Naufal.


PUSAT JAGAAN PELAJAR PPIS BUAT IBU BAPA TENANG

Pusat Jagaan Pelajar PPIS bermula 30 tahun lalu pada 1989 dan sehingga hari ini, sekitar 32, 480 pelajar sudah meraih manfaat daripada khidmat-khidmat yang disediakan.

Pusat itu ditubuhkan untuk menyokong para ibu bapa tunggal dalam hal-hal jagaan anak-anak mereka yang berusia antara 7 dengan 14 tahun supaya mereka boleh keluar bekerja.

Bagi ibu Naufal, Cik Norizah Asaad, khidmat sedemikian amat membantu dan memberi ketenangan fikiran bahawa anaknya di bawah jagaan pihak-pihak bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

“Saya bimbang jika Naufal bergaul dan terpengaruh dengan orang-orang atau perkara yang tidak baik. Bila Naufal dihantar ke pusat jagaan PPIS itu semasa saya bekerja, saya rasa dijamin bahawa anak saya dijaga dalam sekitaran yang selamat,” menurut Cik Norizah, 49 tahun.

Pencapaian serta keperibadian Naufal yang semakin hari semakin positif juga membuat Cik Norizah berasa bangga dengan anaknya itu.

“Sebagai ibu, tentu sekali saya rasa bertuah dan gembira dengan pencapaian Naufal. Saya yakin sokongan holistik yang diterima daripada PPIS akan terus membentuk keperibadian dan ciri-ciri kepimpinan dalam dirinya. Saya juga bangga dengannya kerana sentiasa positif, gembira dan penyayang,” lahir Cik Norizah.

Ternyata khidmat dan program yang ditawarkan PPIS berkesan. Ini kerana, setiap tahun kira-kira 30 bekas pelajarnya berkobar-kobar untuk kembali lagi setiap tahun, menyumbang tenaga dan masa mereka pula sebagai fasilitator, anggota jawatankuasa penganjur acara atau memberikan sokongan logistik.

Naufal juga kembali ke pusat jagaan itu pada bulan Mac lalu untuk membantu sebagai Alumni.

Pusat Jagaan Pelajar itu adalah sebahagian daripada Khidmat Sosial PPIS yang bertujuan memperkukuh individu dan keluarga-keluarga memerlukan disebabkan status sosio-ekonomi yang rendah atau berdepan cabaran-cabaran psiko-sosio serta emosi.

Ini termasuk pasangan yang berkahwin muda, yang di ambang perceraian atau sudah bercerai, pasangan yang bernikah semula dan keluarga-keluarga tiri serta keluarga titipan.


BANTU INDIVIDU, KELUARGA MEMERLUKAN BERDAYA BINGKAS

Dalam meniti perjalanan kehidupan, pasti ada individu atau keluarga-keluarga dibelenggu pelbagai cabaran. Oleh itu, dengan adanya sokongan-sokongan khidmat sosial seperti itu oleh PPIS, ia sedikit sebanyak membantu mereka belajar berdepan dan menanganinya dengan sebaik mungkin.

Hari ini, Khidmat Sosial PPIS menyediakan sembilan pusat yang menyasarkan keperluan-keperluan berbeza setiap keluarga memerlukan. Ini meliputi tujuh khidmat sosial.

“Harapan kami adalah untuk meninggalkan kesan di mana keluarga-keluarga akan berdaya bingkas dan sentiasa memandang ke masa depan.

“Kami juga berharap untuk membolehkan mereka menangani masalah dengan lebih baik dan terus menawarkan program-program dan khidmat yang relevan, yang terbukti keberkesanannya untuk memenuhi keperluan keluarga-keluarga memerlukan dalam kalangan masyarakat kita,” kata Cik Pengarah Kanan PPIS, Azita Abdul Aziz.


PPIS PERLU SOKONGAN MASYARAKAT UNTUK TERUSKAN USAHA

Hakikatnya, untuk membesarkan seorang anak, memerlukan sokongan seisi kampung. Begitu jugalah usaha-usaha PPIS.

“Kami memerlukan sokongan masyarakat untuk membolehkan kami membantu keluarga-keluarga ini dengan lebih baik lagi. Ia boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk - merujuk keluarga memerlukan kepada bantuan di peringkat awal, menawarkan khidmat sukarela atau kepakaran anda atau dengan menderma bagi program-program kami,” tambah Cik Azita.

Bantulah PPIS supaya mereka dapat terus memperkasa individu dan keluarga-keluarga memerlukan. Anda boleh menderma melalui laman ppis.sg/donate atau giving.sg/ppis.

- Rencana khas ini dibawakan oleh PPIS.

Top