Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS perjuangkan usaha kaum wanita atasi halangan 'siling kaca' sempena Hari Wanita Antarabangsa

Kesamarataan jantina dan sokongan terhadap aspirasi kaum wanita menjadi tumpuan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) yang dianjurkan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kesamarataan jantina dan sokongan terhadap aspirasi kaum wanita menjadi tumpuan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa (IWD) yang dianjurkan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) tahun ini.

Sambutan tahunan IWD yang lazimnya diraikan pada 8 Mac, ditangguhkan kepada hari ini (16 Ogos) dek situasi COVID-19 yang menjejas seluruh dunia.

Acara anjuran PPIS hari ini (16 Ogos) disertai oleh Anggota Parlimen GRC Ang Mo Kio Nadia Samdin dan 30 pemimpin wanita dari pelbagai pertubuhan.

Buat pertama kalinya sempena memperingati Hari Wanita Antarabangsa, PPIS menganjurkan sesi penilaian filem dan perbincangan panel.

Tujuannya bagi mengajak peserta mengupas dokumentari bertajuk 'The Judge' yang memaparkan kisah kehidupan wanita pertama dilantik hakim di Mahkamah Syariah di Timur Tengah.

Filem itu memaparkan semangat kental Hakim Kholoud Al-Faqih dalam mencabar stereotaip dalam masyarakat dan "memecahkan halangan siling kaca" dalam mahkamah syariah yang lazimnya dijawat oleh kaum lelaki.

"Seperti mana Hakim Kholoud adalah hakim wanita pertama di Timur Tengah, PPIS sebagai pertubuhan perintis gerakan wanita Muslim di Singapura berharap dapat mewakili suara wanita Muslim dan memajukan aspirasi mereka," kata Cik Rahayu Mohamad, Presiden PPIS.

"Melalui pelbagai program dan perkhidmatan yang kami tawarkan untuk keluarga dan anak-anak, PPIS mahu menyokong wanita mengimbangi pelbagai peranan yang mereka mainkan dalam masyarakat dan fasa-fasa kehidupan mereka yang berbeza.”

Sejajar dengan tumpuan perbincangan hari ini, para peserta melahirkan harapan dapat meraih kesamarataan jantina yang dicabar dengan sikap berat sebelah, sambil meraikan pencapaian kaum wanita.

PPIS merujuk kepada Laporan Jurang Jantina Sejagat 2020 yang meletakkan Singapura di tempat ke-54 daripada 153 negara yang mempunyai jurang jantina paling rapat di dunia.

Meskipun, Singapura sudah menunjukkan kemajuan, laporan itu juga menunjukkan bahawa negara ini akan mengambil masa 163 tahun sebelum jurang dapat dirapatkan pada rentak perubahan kini.

Namun begitu, tetamu terhormat, Cik Nadia Samdin menukil trend perkembangan dalam masyarakat Melayu/Islam sejak lima tahun lalu sebagai satu isyarat yang menggalakkan.

"Perkembangan baru-baru ini dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam di Singapura sepanjang lima tahun lalu, mencadangkan keterbukaan terhadap kaum wanita yang memegang jawatan kepimpinan.

"Meskipun banyak perkembangan sudah diraih, saya percaya masih lebih banyak boleh dilakukan, seperti menangani isu-isu seperti tanggungjawabmenjaga anak dan ibu bapa, persaraan yang cukup, jurang gaji jantina dan lebih banyak lagi. Ini memerlukan sokongan dari semua peringkat," kata Cik Nadia dalam ucapannya.

Sehubungan itu, PPIS juga melihat perkara itu sebagai seruan bagi perubahan segera, terutama sekali dalam dunia global di mana generasi akan datang bertambah progresif dari segi pemikiran dan pandangan mereka terhadap kesamarataan jantina.

Justeru, PPIS berharap dapat menggandakan usahanya sebagai suara bagi kaum wanita Muslim dalam memimpin perbincangan kontemporari untuk menyuntik inspirasi terhadap perubahan dan memacu tindakan bersama di Singapura.

Sesi perbincangan panel disertai barisan pemimpin wanita dari latar belakang berbeza termasuk Cik Malathi Das, Peguam dan Mantan Presiden Majlis Pertubuhan-pertubuhan Wanita Singapura (SCWO), Dr Suzaini Kadir, Naib Dekan (Ehwal Akademik) di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew NUS dan Cik Khadijah Madihi, Pengarah di Reyna Movement. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan