Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS orak langkah jalankan kajian baru demi rungkai faktor perkukuh institusi keluarga tiri

Vista Sakinah yang dikendalikan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengorak langkah untuk menjalankan kajian baru mengenai keluarga tiri yang berjaya mengekalkan rumah tangga selama lebih 10 tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Vista Sakinah yang dikendalikan Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) mengorak langkah untuk menjalankan kajian baru mengenai keluarga tiri yang berjaya mengekalkan rumah tangga selama lebih 10 tahun.

Daya inisiatif ini dikongsi semasa sambutan ulang tahun ke-10 pusat itu pada Sabtu (23 Jan).

Vista Sakinah merupakan satu-satunya pusat sokongan khusus bagi keluarga tiri di Singapura. Hari istimewa pusat itu diraikan secara online dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) Masagos Zulkifli.

Menurut PPIS, kajian baru itu bakal dijalankan demi merungkai faktor-faktor yang berupaya mengukuhkan institusi sebuah keluarga tiri. Usaha tersebut sekaligus akan mempertingkat lagi mutu perkhidmatan Vista Sakinah kepada masyarakat.

Persatuan itu juga berharap, langkah berkenaan akan menjadikan Vista Sakinah sebuah pusat yang lebih diyakini sedang ia terus memenuhi keperluan masyarakat sambil merujuk kepada sumber-sumber yang luas.

Dalam ucapannya, Encik Masagos mengiktiraf peranan penting yang dimainkan Vista Sakinah kerana cabaran yang dihadapi keluarga tiri hakikatnya cukup berbeza.

(Gambar: PPIS)

"Keluarga tiri merupakan satu institusi yang unik dan kompleks dari segi banyak aspek. Penting bagi kita membolehkan mereka membina ketangkasan dan mencari cara-cara untuk bangkit daripada cabaran-cabaran yang dihadapi. Di sinilah Vista Sakinah memainkan peranan penting, dalam menyokong dan mengukuhkan (ikatan) keluarga mereka," kata Encik Masagos yang juga Menteri Kedua Kesihatan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Beliau menambah, Vista Sakinah bukan sekadar sebuah platform untuk menyokong keluarga-keluarga tiri tetapi menjadi saluran memperkasa anggota keluarga tiri untuk berdaya tahan dalam sekitaran masa kini.

Sementara itu, Presiden PPIS, Cik Hazlina Abdul Halim, melahirkan penghargaan kepada pihak-pihak yang selama ini menyokong semua usaha badan tersebut.

Menurut Cik Hazlina, hasil sokongan yang melengkapi komitmen dan usaha Vista Sakinah, 14,000 orang sudah meraih manfaat daripada semua program dan khidmat mereka.

"Semua yang dilakukan dalam 10 tahun ini tidak dapat dicapai tanpa sokongan rakan-rakan masyarakat, mereka yang menyumbang dana, Pemerintah, kakitangan PPIS (yang dahulu dan sekarang) dan paling utama sekali, keluarga-keluarga tiri kami. Menerusi ekosistem sokongan kukuh ini, kami berharap dapat membina asas kukuh bagi keluarga-keluarga kami dan mewujudkan sekitaran yang membina dalam memupuk ikatan baik dalam keluarga, terutama sekali untuk wanita," ujar Cik Hazlina.

Vista Sakinah dilancarkan sebagai sebuah pusat khidmat bagi keluarga tiri pada 2011, dengan sokongan MSF, MENDAKI (Forum Pemimpin Masyarakat) dan Majlis Perkhidmatan Sosial Kebangsaan (NCSS).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan