Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS dilantik MSF sebagai Agensi Skim Keluarga Titipan Ketiga

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), menjadi Agensi Skim Keluarga Titipan ketiga, dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), menjadi Agensi Skim Keluarga Titipan ketiga, dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Dijadual mula beroperasi dalam suku ketiga tahun ini, perlantikanya itu bermakna ia agensi Melayu/Islam pertama yang menyokong ibu bapa titipan dan penjagaan anak-anak titipan.

Pelantikan PPIS diumumkan di pameran bergerak kedua Skim Keluarga Titipan MSF untuk tahun ini, demi menggalak lebih banyak keluarga menyertai pergerakan titipan.

HARAP DAPAT 500 KELUARGA TITIPAN JELANG 2020

Selaras dengan perayaan Hari Ibu, pameran bergerak itu berlangsung selama seminggu di Bedok Mall mulai hari ini (10 Mei) hingga 16 Mei.

Sekarang ini, terdapat 420 keluarga titipan yang menjaga 430 anak titipan.

Hari ini sahaja, sekurang-kurangnya tujuh ibu bapa berdaftar untuk menyertai Skim berkenaan.

Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan Profesor Madya Faishal Ibrahim berharap dapat menambah jumlahnya kepada 500 ibu bapa titipan menjelang 2020.

"Kedua-dua agensi yang sedia ada telah mendekati 150 keluarga dan dengan adanya agensi yang ketiga, ia memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada kita untuk mendekati lebih daripada 150 keluarga," ujar beliau.

PPIS DAPAT ATASI KEKURANGAN PEMADANAN

Tahun lalu, 25% kanak-kanak berumur lebih 10 tahun, remaja dan anak-anak istimewa tidak dapat dipadankan dengan ibu bapa titipan yang ada.

Kekurangan itu diharap dapat diatasi dengan pelantikan PPIS sebagai agensi titipan ketiga.

Mentelah lagi sebagai sebuah badan Melayu/Islam yang menyediakan bantuan kepada wanita dan keluarga sejak 1952, bermakna suatu rangka kerja khusus bagi memenuhi keperluan titipan masyarakat Melayu/Islam, dapat dibentuk.

Presiden PPIS Rahayu Mohamad berkata: "Kemahiran dan pengalaman yang kami ada ini boleh dialihkan kepada agensi titipan ini untuk lebih menggabungkan. Dan juga kami merasakan bahawa kerana, rangka kerja kami dengan persatuan-persatuan di dalam masyarakat kami, kami merasakan bahawa di sana ada kepakaran-kepakaran yang boleh kami gunakan untuk memberikan satu suntikan kepada agensi titipan ini."

Lebih 5,500 kanak-kanak meraih manfaat daripada Skim Keluarga Titipan MSF sejak penubuhannya pada 1956.

"Kami akan memberikan bantuan seperti latihan, kumpulan sokongan - di mana mereka akan berjumpa dengan ibu bapa titipan yang lain dan mereka akan dapat bantu-membantu antara satu sama lain dan berkongsi pengalaman dalam mereka menjalankan tugas mereka sebagai ibu bapa titipan," kata Pengurus Kanan Khidmat Titipan MSF Hazliya Noor.

Pameran bergerak itu akan ke estet-estet lain serata negara, demi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang Skim Titipan dan mengambil lebih ramai keluarga agar menjadi ibu bapa titipan.

Penduduk Clementi akan dapat mengunjungi pameran selanjutnya di Clementi Mall, dari 14 hingga 16 Julai nanti.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan