Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PPIS akan lancar pusat sumber dan bantuan wanita dipanggil PPIS Women Space

Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan melancarkan sebuah pusat sumber sehenti bagi kaum wanita mendapatkan bantuan dan maklumat. Dipanggil PPIS Women Space, pusat tersebut akan menyediakan sokongan dari segi keperluan kerjaya, kesejahteraan serta undang-undang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) akan melancarkan sebuah pusat sumber sehenti bagi kaum wanita mendapatkan bantuan dan maklumat. Dipanggil PPIS Women Space, pusat tersebut akan menyediakan sokongan dari segi keperluan kerjaya, kesejahteraan serta undang-undang.

Menurut PPIS, pusat itu bakal menjadi ruang "selamat" untuk kaum wanita berhubungan dan sama-sama mewujudkan inisiatif-inisiatif demi membangunkan golongan wanita.

Badan itu mendedahkan demikian semasa semasa satu sesi perbincangan mengenai wanita dan pekerjaan anjurannya hari ini (28 Ogos).

"Visi untuk pusat ini adalah supaya wanita dapat sama-sama membentuk masyarakat untuk menjadi satu sandaran buat masing-masing dan juga meraih pertolongan dari segi kefahaman undang-undang, umpamanya.

"Kesedaran mengenai cara-cara untuk menembusi pasaran pekerjaan dan juga sesuatu bantuan yang holistik tidak kira dari segi mungkin mental dan sebagainya," jelas Presiden PPIS Hazlina Abdul Halim.

PPIS Women Space dijangka dilancarkan tahun depan sempena ulang tahun PPIS yang-70.

SIRI PERBINCANGAN KUMPULAN TUMPUAN UNTUK FAHAMI KEPERLUAN WANITA

Bagi melakar program dan khidmat yang bakal disediakan di PPIS Women Space, pertubuhan itu akan menjalankan satu siri kumpulan perbincangan tertumpu (FGD).

Siri FGD itu bertujuan memahami tahap kesedaran, sikap dan tanggapan wanita terhadap pekerjaan serta sokongan berkaitan terhadap wanita Muslim.

Siri tersebut, yang meliputi tiga sesi perbincangan, akan melibatkan penyertaan para karyawan wanita Muslim dan dijangka bermula hujung bulan depan.

RAHAYU MAHZAM: BINA KECEKAPAN WANITA DALAM SEKTOR BERKEMBANG

Bercakap di sesi perbincangan mengenai wanita dan pekerjaan, Setiausaha Parlimen Kementerian Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam
menekankan tentang pentingnya kaum wanita membina kecekapan dalam sektor-sektor yang berkembang.

Ini kerana ia merupakan sektor-sektor di mana "gajinya adalah baik" menurut Cik Rahayu.

Jika masyarakat Melayu/Islam tidak menceburi bidang-bidang tersebut, ujar beliau, jurang pendapatan akan terus meluas.

Mentelah dalam keadaan pandemik yang banyak menjejas kehidupan, wanita harus mempunyai kemahiran yang relevan untuk kekal bekerja dan bersedia merebut peluang pekerjaan pada masa hadapan kata Cik Rahayu.

Beliau menjelaskan bahawa antara hambatan golongan wanita untuk menceburi sektor-sektor berkembang sebenarnya bermula dari peringkat bangku sekolah lagi.

"Pelajar-pelajar perempuan kita mungkin, tidak ramai yang memilih subjek-subjek di mana adanya subjek-subjek STEM yang membantu mereka masuk dalam sektor-sektor tertentu. Mungkin bermula dari awal adalah satu usaha yang perlu dijalankan untuk lebihkan pengetahuan ini melalui bimbingan dan program-program belia dan sebagainya.

"Dan kita lihat juga apabila masuk dalam alam pekerjaan pula, (mereka) perlu juga ada sokongan. Kerana biasanya, mungkin mereka belajar di sekolah tetapi tidak membuat pilihan untuk masuk ke dalam kerjaya tersebut kerana mungkin merasakan ramainya lelaki, waktunya mungkin sukar dan sebagainya," terang Cik Rahayu.

Maka itu, beliau menekankan perlunya ada sokongan untuk memastikan para pelajar ini terus menceburi bidang yang sama dalam alam pekerjaan.

Sesi perbincangan kumpulan tumpuan hari ini (28 Ogos) antara lain menyentuh tentang cabaran bekerja semasa pandemik, menubuhkan ekosistem sokongan bagi wanita yang bekerja serta masa depan pekerjaan bagi wanita Muslim. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan