Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Poster cabul kehormatan tidak nyatakan tindakan adalah salah, setakat 'mahal': AWARE

Kumpulan hak wanita AWARE pada Ahad (17 Nov) menyatakan poster pencegahan jenayah mengenai pencabulan kehormatan tidak menyatakan bahawa tindakan itu adalah salah tetapi "mahal".

Anggaran Waktu Membaca:
Poster cabul kehormatan tidak nyatakan tindakan adalah salah, setakat 'mahal': AWARE

(Gambar: Aware Singapore/Facebook)

Diterbitkan : 18 Nov 2019 10:41AM Dikemas Kini : 18 Nov 2019 10:42AM

SINGAPURA: Kumpulan hak wanita AWARE pada Ahad (17 Nov) menyatakan poster pencegahan jenayah mengenai pencabulan kehormatan tidak menyatakan bahawa tindakan itu adalah salah tetapi "mahal".

Ini setelah polis mengeluarkan satu kenyataan pada Sabtu (16 Nov) yang menyatakan bahawa AWARE sudahpun salah faham tujuan kempen tersebut.

Awal dari itu, AWARE atau Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian menarik perhatian terhadap poster berkenaan dengan menyatakan terdapat keperluan mendesak untuk mengalihkan cara keganasan seksual dibincangkan atau ditangani.

Dalam satu catatan Facebook, AWARE menyatakan ia terutamanya prihatin terhadap motif gambar tanda harga pada lengan orang yang memperkosa serta slogan iklan yang berbunyi: "Hukuman penjara 2 tahun. Tidak berbaloi melakukannya."

"Meletakkan harga pada pencabulan kehormatan ibarat menyamakan mangsa dengan objek di rak kedai yang boleh dibeli jika seseorang yang sanggup membayar harganya," menurut AWARE.

"Poster tersebut tidak menyatakan tindakan sedemikian adalah salah, hanya setakat ia mahal. Analogi seumpama itu mempunyai kesan memperlekehkan pengalaman mangsa dan sebarang rasa simpati penonton terhadap diri mangsa.

"AWARE mengambil pendekatan yang mengutamakan mangsa yang menggariskan maruah setiap individu. Kami ingin melihat semua iklan, pengumuman awam atau sebaliknya, berpegang kepada kepercayaan itu."

Kumpulan tersebut menambah: "Para mangsa malahan menulis kepada kami untuk berkongsi rasa tidak selesa mereka mengenai mesej poster itu."

AWARE akur bahawa meskipun poster tersebut adalah sebahagian daripada siri yang juga menyasarkan pencurian harta benda atau rusuhan, pendekatan tanda harga mungkin tidak sesuai digunakan bagi jenayah serangan seksual.

"Memandangkan poster itu dipaparkan di tempat awam, stesen MRT di mana ia sudahpun dilihat oleh ramai penumpang, kami berpendapat ia tidak sesuai untuk mengeluarkan komen kami di tempat awam. Idea ini menjejas semua lapisan masyarakat maka terdapat nilai dalam membuka wacana ini kepada khalayak ramai."

Pada Khamis lalu (14 Nov), AWARE memuat naik gambar poster tersebut dan mempersoalkan mengapa perlu ada "harga" pada keganasan seksual.

Sebagai respons, polis menegaskan bahawa sasaran mesej tersebut adalah sesiapa saja yang berpotensi menjadi pelaku dan "khususnya menekankan hukuman ke atas perbuatan melakukan jenayah bagi menyampaikan mesej yang jelas terhadap kesalahan sedemikian."

"AWARE mengutuk poster itu atas dasar bahawa ia memberi tumpuan kepada hukuman dan tidak merujuk kepada bahaya yang dialami mangsa. AWARE kelihatan tidak memahami tujuan sebenar poster," jelas polis.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan