Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal sehenti MANGO dilancar; kini lebih mudah untuk penduduk Toa Payoh East dapatkan bantuan sosial

Sebuah laman portal dilancarkan pada Sabtu (12 Dis) untuk mendampingi lebih ramai penduduk yang mungkin tidak menyedari tentang pelbagai skim bantuan sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Portal sehenti MANGO dilancar; kini lebih mudah untuk penduduk Toa Payoh East dapatkan bantuan sosial

Poster mengenai portal baru MANGO dilancarkan pertubuhan akar umbi Toa Payoh East.

Diterbitkan : 12 Dec 2020 12:42PM Dikemas Kini : 12 Dec 2020 12:44PM

SINGAPURA: Sebuah laman portal dilancarkan pada Sabtu (12 Dis) untuk mendampingi lebih ramai penduduk yang mungkin tidak menyedari tentang pelbagai skim bantuan sosial yang disediakan untuk menolong golongan yang memerlukan.

Diberi nama MANGO, portal sehenti itu dibangunkan sendiri oleh para relawan akar umbi Toa Payoh East dan ia juga bermatlamat untuk memberikan gambaran yang lebih jelas dan luas mengenai pelbagai skim bantuan yang disediakan di Toa Payoh East.

MANGO yang merujuk kepada Meals (Makanan), Assistance (Bantuan), Needs (Keperluan), Groceries (Barang Dapur) dan Opportunites (Peluang) adalah satu wadah baru untuk mendampingi lebih ramai penduduk yang memerlukan dan bagi mereka yang mungkin tidak tahu tentang kriteria atau cara-cara untuk memohon bantuan sosial yang disediakan.

"Idea untuk laman ini tercetus selepas para relawan akar umbi menerima maklum balas daripada para penduduk yang mungkin tidak menyedari tentang skim bantuan yang disediakan untuk mereka mahupun kriteria yang ditetapkan untuk memohon bantuan," menurut kenyataan media Divisyen Toa Payoh East.

Selain menyediakan butiran tentang pelbagai skim bantuan, portal MANGO juga mempelawa para penduduk yang berminat untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan mendaftarkan diri mereka sebagai relawan.

Menurut kenyataan itu lagi: "Kami berharap usaha ini akan mewujudkan masyarakat yang prihatin dan inklusif bagi semua penduduk Toa Payoh East."

Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat yang merasmikan pelancaran MANGO turut diberikan taklimat mengenai bagaimana para penduduk boleh memanfaatkan portal itu.

Bagi mendekati lebih ramai penduduk, pertubuhan akar umbi Toa Payoh East juga akan bekerjasama dengan beberapa rakan masyarakat.

"Pasukan kami juga sedang giat berusaha untuk menawarkannya dalam tiga bahasa lain, iaitu Mandarin, Melayu dan Tamil supaya lebih ramai penduduk dapat memahami maklumat yang disediakan.

"Selain itu, pasukan kami juga sedang membangunkan sebuah aplikasi bagi menjadikannya lebih mudah untuk para penduduk mendapatkan maklumat menggunakan telefon bijak masing-masing," dedah kenyataan media tersebut.

Lebih banyak perincian akan diumumkan kelak. 

Sumber : BERITA Mediacorp/RU/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan