Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Portal baru HDB bagi urus niaga jualan semula boleh digunakan mulai esok

Mulai esok (1 Jan), semua urus niaga baru bagi flat jualan semula perlu dilakukan menerusi portal jualan semula baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 Dec 2017 03:05PM Dikemas Kini : 31 Dec 2017 11:09PM

SINGAPURA: Mulai esok (1 Jan), semua urus niaga baru bagi flat jualan semula perlu dilakukan menerusi portal jualan semula baru Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Portal itu boleh dilungsuri mulai pukul 1.00 tengah hari esok. Urus niaga jualan semula boleh dilakukan dalam tempoh separuh daripada masa yang diperlukan sekarang.

Buat masa ini, urus niaga jualan semula mengambil masa sekitar 16 minggu dan memerlukan dua temu janji dengan HDB.

Langkah untuk memperkemas proses jualan semula itu dibuat sedang HDB menerima lebih banyak urus niaga yang dilakukan tanpa bantuan ejen hartanah.

Menurut HDB pada tahun 2010, kira-kira satu daripada 10 orang melakukan urus niaga hartanah sendiri, tanpa menggunakan khidmat ejen.

Nisbahnya melonjak hampir tiga kali ganda kepada tiga daripada 10 orang melakukan sedemikian pada separuh pertama tahun ini.

Inisiatif HDB itu dipuji sebahagian pemilik rumah dan ejen hartanah yang diberi peluang meninjau portal tersebut menjelang pelancarannya. Mereka menyifatkan portal baru itu sebagai pantas dan mudah digunakan.

Encik Xavier Chia, 31 tahun, seorang pegawai khidmat pelanggan berkata: "Ia mudah digunakan. Jadi saya tidak perlu membuat temu janji jika semua proses menguruskan dokumen boleh saya lakukan sendiri dan saya boleh melakukannya pada bila-bila masa lapang."

Encik Chia, yang membeli sebuah flat baru empat bilik di Boon Keng pada bulan Disember lalu, menambah portal itu menjadikan proses jualan semula lebih "jelas dan mudah", memandangkan beliau tidak lagi perlu mengakses beberapa wadah khidmat elektronik atau e-khidmat di laman HDB untuk melakukan pemeriksaan kelayakan.

Seorang lagi pemilik rumah, Encik Randy Goh, berkata apabila beliau membeli flat di Punggol awal tahun ini, sukar untuk menetapkan masa yang sesuai bagi menghadiri temu janji pertama dengan HDB bersama dengan penjual.

Eksekutif Jualan berusia 28 tahun itu berkata beliau dan isterinya terpaksa mengambil cuti untuk menghadiri temu janji itu, hanya untuk mengetahui pendapatan hasil jualan rumah bagi penjual dan meneliti pelan kewangan beliau.

Namun sekarang, pemeriksaan kelayakan sedemikian akan disepadukan dalam portal baru itu. Kedua-dua pembeli dan penjual hanya perlu mengadakan satu temu janji dengan HDB untuk menyelesaikan urus niaga jualan semula dengan menandatangani dokumen-dokumen yang diperlukan.

PENINGKATAN BOLEH DILAKUKAN

Meskipun portal baru itu bertujuan untuk menyediakan lebih banyak kemudahan bagi pembeli dan penjual flat, Encik Chia dan Encik Goh berasa ia lebih mesra pengguna sekiranya terdapat pilihan bahasa. Buat masa ini, bahasa yang disediakan hanyalah Bahasa Inggeris.

Portal itu, yang memerlukan semua yuran pentadbiran dibayar online menerusi kad kredit atau NETS, boleh menjadi isu bagi warga tua yang mungkin tidak tahu membuat pembayaran online, kata Encik Goh.

Namun menurut HDB, mereka yang tidak boleh membuat pembayaran online boleh mencetak borang pembayaran dan membayar yuran pentadbiran di Hab HDB dalam masa tiga hari.

Encik Chia juga berpendapat, lebih banyak panduan boleh disediakan untuk membantu pengguna mengisi borang online.

"Walaupun (portal itu) menyenaraikan dokumen-dokumen yang diperlukan, tidak semestinya (ia) membantu pengguna dari segi bagaimana untuk mengisinya," kata beliau.

"Jika saya mempunyai soalan ia tetap menyuruh saya menghubungi HDB atau pergi ke Hab HDB untuk membuat pertanyaan lanjut atau mendapatkan bantuan profesional daripada ejen."

KURANG KERJA LIBATKAN DOKUMEN BAGI EJEN

Encik Nelson Lim, Pegawai Eksekutif Utama C&H Properties berkata beliau percaya proses jualan semula yang sudah diperkemas itu akan disambut baik oleh para ejen hartanah kerana ia mengurangkan kerja melibatkan dokumen-dokumen yang perlu diisi bagi pihak klien mereka.

Sekalipun begitu, ini tidak bermakna para ejen tidak lagi diperlukan, tambah Pegawai Eksekutif Utama ERA Realty Network, Eugene Lim.

Beliau berkata: "Bahagian pentadbiran hanya sebahagian kecil tugas seorang ejen hartanah. Ejen dibayar sebenarnya untuk mencari pembeli yang mahu membayar harga paling tinggi bagi sesebuah rumah jualan semula. Portal itu bukan untuk memadankan penjual dengan seseorang yang mahu membeli rumah. Ia hanya portal bagi urusan pentadbiran untuk memudahkan apa yang perlu diketahui, dilakukan dan dilaksanakan oleh (pembeli atau) penjual."

Mediacorp difahamkan portal baru itu membolehkan ejen-ejen untuk menyerahkan borang bagi pihak klien mereka.

Bagaimanapun, sesetengah pemilik rumah yang diwawancara Mediacorp berkata dengan kemudahan yang disediakan menerusi portal tersebut, mereka mungkin tidak menggunakan khidmat ejen pada masa akan datang.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan