Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Politik S'pura sudah berubah buat selamanya susuli GE2020, kata Tharman

Politik di Singapura sudah berubah buat selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum (GE) baru-baru ini, kata Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Ahad (19 Jul). 

Anggaran Waktu Membaca:
Politik S'pura sudah berubah buat selamanya susuli GE2020, kata Tharman

Tharman Shanmugaratnam daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) berucap pada 29 Jun 2020. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 20 Jul 2020 09:50AM Dikemas Kini : 20 Jul 2020 09:51AM

SINGAPURA: Politik di Singapura sudah berubah buat selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum (GE) baru-baru ini, kata Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam pada Ahad (19 Jul).

Keputusan pilihan raya itu adalah baik untuk Singapura, kata Encik Tharman dalam satu catatan Facebook, sebagaimana ia baik untuk Parti Tindakan Rakyat (PAP). Beliau menggariskan dua sebab mengapa ia baik untuk PAP.

Pertama, ia menjaminkan mandat kukuh bagi PAP, lantas menunjukkan bahawa kepercayaan terhadap parti itu untuk mengendalikan Pemerintah dan melakukan apa yang terbaik buat rakyat Singapura masih kekal.

“Kedua, peralihan undi (meskipun daripada undi tinggi pada 2015 yang tidak dapat diulangi) membawa parti itu untuk menilai semula prestasi dan strateginya sendiri agar menambat hati, bukan sahaja minda, para pengundi yang berubah," tulisnya.

Encik Tharman menambah keputusan itu juga baik untuk politik pembangkang dan bukan semata-mata kerana mereka memenangi lebih banyak undi secara kolektif.

“Undi lebih kukuh bagi Parti Pekerja (WP), dengan jenamanya yang kian munasabah dan menghindari kempen yang berkisar kepada satu calon, mencerminkan masyarakat yang arif serta budaya politik yang baik bagi Singapura."

Encik Tharman juga berkata pembangkang itu meletakkan lebih ramai calon yang berwibawa di mata masyarakat untuk bertanding dalam GE.

"PAP juga memiliki barisan calon yang kuat, dengan beberapa calon membawa perspektif segar. Namun, pembangkang meraih manfaat daripada satu lagi faktor utama yang lain. Apabila PAP dengan kedudukannya yang lama dan dominan bertanding dalam GE, para pengundi meletakkan PAP serta pembangkang pada standard yang berbeza - itulah sifat manusia. Ini juga mencerminkan keinginan dalam kalangan rakyat Singapura untuk keseimbangan baru dalam politik.

“Kita perlu membuat keseimbangan baru ini berjalan baik bagi Singapura. Ini akan berlaku sekiranya kita mempunyai perbahasan yang rancak dan berhemah di Parlimen antara PAP dengan pembangkang mengenai dasar-dasar yang diperjuangkan setiap parti, dengan kedua-dua pihak melayani satu sama lain dengan tenang," ujar beliau.

Encik Tharman menambah matlamat kedua-dua Pemerintah dan pembangkang mestilah untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat Singapura menerusi dasar-dasar yang boleh bertahan untuk jangka panjang dan bukannya sekadar meraih populariti dengan memberitahu orang ramai apa yang mereka ingin dengar atau menjanjikan manfaat tanpa mendedahkan kos serta menyatakan secara jelas siapa yang akan menanggungnya.

"Kita harus melakukan lebih banyak lagi untuk mencapai keadilan sosial tetapi dengan cara yang membolehkannya untuk bertahan - memperkukuh mobiliti sosial; menaikkan gaji pekerja berpendapatan rendah tanpa mengambil risiko pengangguran; memastikan rakyat Singapura pertengahan usia terus mendapat kerjaya yang baik; memberikan ketenangan jiwa kepada pesara kita dan dapat mengekalkan faedah untuk mereka dari semasa ke semasa.

"Kita tidak boleh sekali-kali mengaku sebagai model untuk orang lain dalam politik - setiap masyarakat bergerak maju daripada sejarah dan keadaan sosialnya sendiri. Tetapi ada cabaran yang dihadapi oleh semua demokrasi yang kita juga harus tangani dan kita mesti melakukannya dengan cara yang mencerminkan perubahan aspirasi rakyat Singapura," jelas beliau.

Encik Tharman berkata adalah baik jika Singapura dapat berubah dalam tiga cara. Pertama, menjadi sebuah demokrasi dengan asas yang kuat sekalipun apabila politik kian dicabar. Ini boleh dilakukan dengan menghindari "politik berpolarisasi" yang bertentangan seperti yang dialami banyak demokrasi lain.

Singapura juga mesti menjadi sebuah demokrasi yang terus bekerja keras untuk memupuk persefahaman berbilang kaum dalam masyarakat serta sebuah demokrasi yang lebih bertoleransi dengan ruang lebih luas untuk pandangan berbeza. Ini di samping sebuah masyarakat sivil lebih aktif tanpa wacana umum yang berpecah belah atau mengganggu masyarakat majoriti.

Encik Tharman menambah setiap daripada langkah tersebut akan membantu memastikan kestabilan dalam demokrasi Singapura pada tahun-tahun mendatang. Beliau menambah ia akan memanfaatkan tenaga serta idea generasi lebih muda Singapura dan keinginan mereka untuk melibatkan diri dalam ehwal awam. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan