Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Politeknik Republic, LTA, firma bekerjasama latih pelajar bidang pengangkutan, keselamatan siber

Politeknik Republic (RP) bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan syarikat-syarikat keselamatan siber - RSA dan Ensign InfoSecurity - untuk melancarkan dua pusat latihan yang berteraskan pengalaman.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jan 2019 10:45PM Dikemas Kini : 11 Jan 2019 10:54PM

SINGAPURA: Politeknik Republic (RP) bekerjasama dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan syarikat-syarikat keselamatan siber - RSA dan Ensign InfoSecurity - untuk melancarkan dua pusat latihan yang berteraskan pengalaman.

Setiap tahun, kedua-dua pusat latihan itu akan mendedahkan 250 pelajar kepada bidang operasi pengangkutan dan keselamatan siber.

Semasa berucap di majlis perasmian pusat-pusat latihan itu hari ini (11 Jan), pengetua dan CEO RP Yeo Li Pheow menyifatkan pusat-pusat berkenaan sebagai "sepadan dengan piawai industri", yang akan mendedahkan para pelajar kepada "sekitaran sebenar".

Misalnya, Makmal Pengurusan Operasi Kereta Api RP-LTA direka mengikut model Pusat Kawalan Operasi sebenar bagi laluan-laluan kereta api di Singapura, yang biasanya ditempatkan di depot kereta api.

Dengan itu, para pelajar Diploma dalam Sistem Kejuruteraan dan Pengurusan boleh membangunkan kemahiran mereka dalam pengurusan krisis melalui simulasi. Ini sekaligus membolehkan mereka menangani keadaan kecemasan di dunia sebenar.

Seorang pelajar jurusan itu, Hilman Hamidan berkata: "Makmal ini telah membantu kami dalam pekerjaan dan apabila kami memasuki alam kerja.

"Ini membantu kami dalam pekerjaan kami dan ia bukan sesuatu yang ganjil apabila kami memulakan alam pekerjaan."

Kemudahan kedua iaitu Pusat Perisikan Ancaman Siber RP-RSA-Ensign pula akan memberi manfaat kepada para pelajar yang mengikuti Diploma dalam Pengurusan Keselamatan Infokom.

Pusat berkenaan dilengkapi dengan perkakas pemantauan keselamatan canggih. Para pakar teknikal dari industri itu juga akan bekerja bersama para pelajar semasa menyiasat dan menganalisis percubaan pencerobohan siber.

Menteri Negara Kanan Pengangkutan merangkap Perhubungan dan Penerangan, Janil Puthucheary, juga menarik perhatian mengenai pentingnya membangunkan tenaga kerja yang mahir.

Berucap di majlis pelancaran hari ini (11 Jan), Dr Puthucheary berkata rangkaian kereta api Singapura sedang berkembang pesat dengan jumlah pekerjaan yang ditawarkan dalam industri itu dijangka meningkat dari 9,000 kepada lebih 15,000 menjelang 2030.

"Sektor kereta api sedang menjalani perubahan bagi memenuhi keperluan para pelanggan yang kian berubah-ubah. Mereka menjangkakan perjalanan yang lebih pantas, licin dan utuh. Oleh itu, para pakar kereta api perlu dilengkapi dengan pelbagai kemahiran serta kemahiran baru," katanya.

Selain itu, pendigitalan juga memerlukan huraian keselamatan siber.

"Rakyat Singapura harus merebut peluang pekerjaan menarik yang ditawarkan oleh industri keselamatan siber yang semakin berkembang," kata Dr Puthucheary.

Dua Memorandum Persefahaman (MOU) juga dimeterai hari ini (11 Jan).

Yang pertama adalah perjanjian selama lima tahun antara RP, LTA, SMRT Corporation dan SBS Transit. Yang kedua pula adalah perjanjian selama tiga tahun antara RP dengan Ensign InfoSecurity.

Kedua-dua perjanjian itu akan membolehkan kakitangan dan pelajar RP untuk mengambil bahagian dalam projek-projek pertukaran pengetahuan dan latihan sambil belajar.  

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan