Images
  • racist video
    (Gambar: Facebook/Dave Parkash)

Politeknik Ngee Ann gantung kakitangan pengajar dalam video berbaur perkauman

SINGAPURA: Lelaki Cina yang bersemuka dengan pasangan berlainan kaum dan menghamburkan kenyataan berbaur perkauman kepada mereka pada hujung minggu lalu telah digantung dari tugas mengajarnya di Politeknik Ngee Ann.

Sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp pada Isnin (7 Jun), politeknik itu menyatakan bahawa pihaknya sedar tentang video yang tular di media sosial melibatkan "seorang individu yang membuat kenyataan berbaur perkauman kepada pasangan berlainan kaum".

"Kami kesal bahawa individu yang dimaksudkan itu adalah anggota kakitangan kami," menurutnya lagi.

Politeknik itu tidak mendedahkan identiti lelaki itu, namun Mediacorp difahamkan bahawa lelaki itu adalah Encik Tan Boon Lee, seorang pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan politeknik itu.

Apabila dihubungi wartawan Mediacorp, Encik Tan menjawab menerusi emel bahawa beliau tidak mahu mengulas kerana kes itu sedang disiasat polis.

Namun beliau berkata "masanya sesuai" untuk menulis mengenai "tajuk perkahwinan campur di Singapura, Asia atau di seluruh dunia". Beliau menambah bahawa "mungkin anda boleh menunjukkan beberapa (perangkaan) mengenai topik ini dari (satu) sudut pandangan kaum yang berbeza".

Politeknik itu menyatakan pihaknya memandang serius hal tersebut kerana "kenyataan yang dibuat oleh individu itu sangat menyinggung perasaan, tidak sopan dan bertentangan dengan kod tatalaku kakitangan dan nilai-nilai kita sebagai sebuah masyarakat".

"Kami sedang menyiasat perkara ini secara dalaman, termasuk mempertimbangkan tindakan disiplin yang sesuai yang perlu diambil... Oleh kerana siasatan polis sedang dijalankan, kami tidak dapat mengulas lebih lanjut mengenai perkara ini," tambah politeknik itu.

Laman Pejabat Perdana Menteri menunjukkan "Encik Tan Boon Lee" dari Sekolah Kejuruteraan Politeknik Ngee Ann dianugerahkan Pingat Bakti Setia pada 2019 sempena Hari Kebangsaan.

Video konfrontasi antara lelaki dengan pasangan itu pertama kali dimuat naik di Facebook pada Ahad oleh Encik Dave Parkash. Polis sejak itu mengesahkan bahawa seorang lelaki berusia 60 tahun sedang membantu siasatan berhubung kejadian tersebut. Polis tidak mengenal pasti lelaki itu.

Dalam catatannya, Encik Parkash - seorang warga Singapura yang berketurunan India dan separuh Filipina - berkata beliau ditegur lelaki itu kerana mempunyai teman wanita keturunan kacukan Cina dan Thailand.

Lelaki tersebut, yang dilihat memakai jersi sukan berwarna merah dengan kata "Singapore" di dadanya, mengaku di depan kamera sebagai seorang yang bersifat perkauman dan mendakwa bahawa Encik Parkash juga bersikap perkauman kerana tidak "mengahwini" seorang gadis India.

LAPORAN BERKAITAN:

- TODAY/TQ/tq

Top