Images
  • police car singapore generic
    Kereta ronda Pasukan Polis Singapura. (Gambar: Channel NewsAsia/Francine Lim)

Polis siasat kes sebar maklumat palsu berhubung kegiatan samseng

SINGAPURA: Maklumat yang disebarkan menerusi pesanan mesej dan video yang kononnya berkaitan pergaduhan antara geng-geng samseng di Singapura adalah tidak benar, menurut polis pada Sabtu (24 Ogos).

Dalam kenyataan medianya, polis menyatakan pihaknya sedang menyiasat perkara itu dan sudahpun mengesahkan bahawa kejadian sedemikian tidak berlaku sama sekali.

"Polis ingin meyakinkan masyarakat awam bahawa maklumat yang disebarkan melalui pesanan mesej dan video itu adalah palsu

"Polis sudahpun mengesahkan bahawa tiada satu pun kejadian yang didakwa itu berlaku."

Maklumat palsu yang tersebar itu termasuk gambar menunjukkan seorang lelaki dengan kesan darah pada muka dan kemeja-T serta satu lagi pesanan yang memberi amaran kepada orang ramai supaya jangan mendekati kumpulan-kumpulan samseng sekiranya ternampak mereka di tempat-tempat awam dan mengelak daripada membuat isyarat-isyarat samseng.

Polis turut menasihati orang ramai supaya jangan menyebarkan maklumat palsu dan menimbulkan rasa cemas.

Ia menyatakan: "Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas sesiapa yang bertanggungjawab ke atas perbuatan mengarang maklumat sedemikian dan menyebarkan kepalsuan yang boleh menimbulkan ketakutan serta rasa cemas dalam kalangan masyarakat".

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat tentang penyebaran kepalsuan itu supaya menghubungi polis di talian 1800-255-0000 atau menyerahkan maklumat secara online di www.police.gov.sg/iwitness

- CNA/FZ/fz

Top