Images
  • kallang train accident
    (Gambar: TODAY)

Polis siasat kematian luar biasa lelaki 31 tahun di landasan stesen MRT Kallang

SINGAPURA: Individu yang digilis kereta api dan kemudian ditemui mati dekat landasan stesen MRT Kallang pada malam semalam (25 Feb) adalah seorang lelaki yang berusia 31 tahun. Pasukan Polis Singapura (SPF) sedang menyiasat kes kematian luar biasa itu.

Berdasarkan siasatan awal, polis tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat, menurut SPF dalam kenyataan medianya pada pagi Jumaat (26 Feb).

Khidmat kereta api di Laluan Timur-Barat antara Bugis dengan Aljunied mengalami kelengahan pada malam semalam setelah seorang kapten kereta api SMRT melaporkan kereta api melanggar sebuah objek dekat stesen MRT Kallang kira-kira pukul 9.00 malam. Stesen MRT Lavender dan Kallang ditutup selepas itu.

Dalam catatan Facebooknya pada awal pagi tadi, SMRT menyatakan bahawa pengurus stesen dikerahkan ke landasan kereta api dan menemui seorang lelaki terbujur sekitar 150 meter dari stesen MRT Kallang.

SMRT menyatakan mayat itu ditemui di landasan menghala ke arah timur dekat stesen berkenaan. Tiada butiran lanjut diketahui mengenai lelaki itu.

Ia juga tidak jelas bagaimana lelaki itu boleh mengakses landasan tersebut. Akhbar The Straits Times melaporkan bahawa lelaki itu mungkin memasuki terowong menghala ke arah timur dari satu kawasan di mana kereta api itu memasuki terowong bawah tanah di stesen MRT Lavender.

SMRT menyatakan bahawa ia turut bersedih atas kematian lelaki itu. "Kami ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa," menurut SMRT.

SMRT mengerahkan lebih 80 kakitangan untuk membantu para penumpang yang terjejas akibat gangguan pada khidmat kereta api berkenaan.

Khidmat kereta api pulih semula pada kira-kira pukul 4.50 pagi tadi.

- TODAY/HA/ha

Top