Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat 3 kes berasingan berhubung aduan palsu

SINGAPURA: Polis hari ini (14 Sep) menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat tiga individu yang disyaki membuat aduan palsu sepanjang dua minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat 3 kes berasingan berhubung aduan palsu

Gambar fail para pegawai polis. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 14 Sep 2018 06:20PM Dikemas Kini : 14 Sep 2018 06:25PM

SINGAPURA: Polis hari ini (14 Sep) menyatakan bahawa pihaknya sedang menyiasat tiga individu yang disyaki membuat aduan palsu sepanjang dua minggu lalu.

Dalam kes pertama yang dilaporkan pada 28 Ogos, seorang lelaki berusia 46 tahun mendakwa dirinya dirompak di Marsiling Lane dua hari sebelum itu.

Lelaki berkenaan mendakwa bahawa seorang lelaki yang tidak dikenali mengancamnya dengan sebuah objek tajam serta mencuri wang tunai S$700 sebelum melarikan diri.

Para pegawai bagaimanapun mendapati bahawa terdapat butiran yang tidak konsisten dalam kenyataannya. Siasatan awal mendapati lelaki itu sebenarnya salah letak wang itu, menurut polis.

Dalam kes kedua yang dilaporkan pada Sabtu (8 Sep) pula, seorang lelaki berusia 27 tahun mendakwa bahawa motosikalnya dicuri dari Woodlands Ring Road.

Polis mendapati lelaki itu meminjamkan motosikalnya kepada rakannya. Beliau bagaimanapun membuat aduan polis kerana bimbang rakannya mungkin melakukan kesalahan semasa menggunakan motosikal tersebut dan beliau enggan dikaitkan dengan kesalahan tersebut.

Kes ketiga yang dilaporkan pada Selasa (11 Sep) juga melibatkan sebuah motosikal yang didakwa dicuri. Seorang lelaki berusia 25 tahun yang membuat aduan itu berkata, kenderaannya dicuri dari sebuah tempat meletak kereta bertingkat di Whampoa Drive.

Para pegawai mendapati bahawa terdapat maklumat yang tidak konsisten dalam kenyataannya dan setelah menjalankan siasatan lanjut, polis mendapati bahawa lelaki itu sudah menjual motosikalnya kepada seorang pembeli menerusi Carousell namun belum lagi memindahkan hak pemilikan kenderaan tersebut.

Lelaki itu dipercayai membuat aduan palsu kerana pembeli berkenaan melakukan beberapa kesalahan trafik dengan menggunakan motosikal tersebut, menurut polis.

Siasatan ke atas kesemua tiga lelaki sedang dijalankan.

"Polis ingin mengingatkan orang ramai bahawa sumber polis boleh digunakan dengan lebih baik dalam menangani jenayah dan kecemasan sebenar, dan bukan menyiasat aduan atau maklumat palsu," menurut polis dalam satu kenyataan media.

"Mereka yang didapati membuat aduan atau memberikan maklumat palsu akan dikenakan hukuman serius di bawah undang-undang."

Sesiapa yang bersalah memberikan sebarang maklumat palsu kepada seorang kakitangan awam boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga setahun dan didenda sehingga S$5,000. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan