Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis siasat 2 individu pakai kemeja-T menentang hukuman mati di Larian Reben Kuning

ADA PERCUBAAN HUBUNGI LELAKI SEBELUM ACARA: JABATAN PENJARA

Anggaran Waktu Membaca:
Polis siasat 2 individu pakai kemeja-T menentang hukuman mati di Larian Reben Kuning

(Gambar: Nafiz SerbaBoleh/Facebook)

Diterbitkan : 18 Sep 2019 09:36AM Dikemas Kini : 18 Sep 2019 11:11AM

SINGAPURA: Polis sedang menyiasat seorang lelaki 38 tahun dan seorang wanita 30 tahun atas kesalahan di bawah Akta Ketenteraman Awam selepas mereka menghadiri acara Larian Penjara Reben Kuning pada Ahad (15 Sep) lalu, dengan memakai kemeja-T yang memaparkan mesej menentang hukuman mati.

Pasangan itu, kedua-duanya warga Singapura, memakai kemeja-T dengan perkataan '2nd chances means not killing them' (peluang kedua bermakna tidak membunuh mereka) tertera pada bahagian depan dan '#antideathpenalty' pada bahagian belakang.

Satu laporan polis dibuat ke atas mereka selepas acara larian tersebut.

"Ia adalah satu kesalahan jenayah di bawah Akta Ketenteraman Awam untuk menyertai perhimpunan atau perarakan awam tanpa sebarang permit polis," menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (17 Sep).

"Siasatan ke atas kedua-duanya sedang dijalankan."

ADA PERCUBAAN HUBUNGI LELAKI SEBELUM ACARA: JABATAN PENJARA

Larian Penjara Reben Kuning adalah acara tahunan yang dianjurkan untuk menyokong para bekas pesalah.

Menurut laman web acara tersebut, para peserta boleh berlari tanpa menyarungkan jersi yang ditetapkan tetapi mereka perlu memakai bib nombor dengan maklumat seperti nama dan nombor-nombor hubungan kecemasan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, Jabatan Penjara Singapura (SPS) menyatakan pihak penganjur mendapati lebih seminggu sebelum acara tersebut bahawa seorang lelaki mencetakkan '2nd chances means not killing them' pada bib larinya dan bukan namanya.

Mereka menghubungi lelaki berkenaan berhubung perkara itu beberapa kali sebelum acara larian tersebut.

Namun, pada hari acara, lelaki dan wanita itu hadir berpakaian kemeja-T kuning sama dengan cogan kata menentang hukuman mati. Lelaki berkenaan kemudian dimaklumkan dia tidak dibenarkan untuk menyertai larian itu, menurut SPS.

Wanita itu meninggalkan tempat acara manakala lelaki berkenaan menolak tawaran penganjur untuk menyediakannya kemeja-T acara, tambah SPS.

SPS menyatakan: "Dia menanggalkan bibnya dan mencampakkannya ke tanah lalu berlari berasingan secara sendirian di jalan raya, selari laluan larian acara.

Setibanya lelaki itu di penghujung laluan larian tersebut di Kompleks Penjara Changi pada sekitar 8.15 pagi, penganjur memberitahunya bahawa dia tidak dibenarkan masuk.

Dia berdiri di luar penjara dan meninggalkan tempat itu sekitar 10.00 pagi, menurut SPS.

Sesiapa didapati bersalah di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana mengambil bahagian dalam perhimpunan atau perarakan awam tanpa permit polis boleh didenda sehingga S$3,000.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan