Images
  • racist incident 9 june
    (Petikan skrin: Livanesh Ramu/Facebook)

Polis sedang siasat video tular wanita pukul gong ganggu jiran lakukan upacara keagamaan

SINGAPURA: Polis pada Khamis (10 Jun) mengesahkan bahawa pihaknya sedang menyiasat kejadian yang dilihat dalam video tular di mana seorang lelaki diganggu oleh jirannya ketika beliau sedang melakukan satu upacara keagamaan Hindu.

Polis juga mengesahkan dengan Mediacorp bahawa laporan telah dibuat.

Dalam video yang dimuat naik pada Rabu malam, pengguna Facebook Livanesh Ramu dilihat membunyikan loceng keagamaan di luar rumahnya apabila jiran beliau, seorang wanita, muncul di belakang dengan gong kecil yang mula dipalunya dengan kuat dan berulang kali.

“Seperti kebanyakan penganut Hindu lainnya, ini merupakan sebahagian dari rutin keagamaan keluarga kami selama lima minit, dua kali seminggu. Setelah tinggal di rumah ini selama lebih dari 20 tahun, kami tidak pernah menghadapi masalah,” tulis Encik Livanesh dalam catatannya.

Ketika dihubungi, beliau memberitahu Mediacorp bahawa polis telah menghubunginya dan beliau "sedang bekerjasama dengan mereka buat masa ini". Beliau enggan mengulas lebih jauh.


Presiden Halimah Yacob juga menulis di Facebook pada Khamis untuk mengulas tentang keharmonian kaum dan agama di Singapura dengan merujuk kepada insiden baru-baru ini.

"Sangat membimbangkan apabila membaca mengenai insiden kebencian dan sikap chauvinisme yang dilakukan oleh warga Singapura terhadap satu sama lain. Paparan seperti itu sangat menghampakan kerana kita sangka sudah melakukan bermacam usaha untuk melindungi perpaduan masyarakat sehingga kejadian seperti ini menggugat kepercayaan kita,” katanya.

“Kebimbangan terbesar kita adalah bagaimana prasangka seperti itu akan menjejas anak muda kita dan mempengaruhi pemikiran mereka. Kita tertanya-tanya sama ada ini adalah satu insiden terpencil atau mencerminkan masalah yang lebih besar. "

Ahad lalu, sebuah video menjadi tular yang menggambarkan seorang lelaki yang menyifatkan dirinya sendiri sebagai bersifat rasis bersemuka dengan sepasang kekasih berbeza kaum.

Encik Dave Parkash, seorang warga Singapura yang berbangsa kacukan India/ Filipina, berkata beliau didekati oleh seorang lelaki ketika beliau bersama temanitanya, yang berbangsa Cina/Thailand.

Lelaki itu, yang kemudian dikenal pasti sebagai Encik Tan Boon Lee, seorang pensyarah kanan di Sekolah Kejuruteraan Politeknik Ngee Ann, sejak itu telah digantung tugas mengajar di politeknik.

- TODAY/TQ/tq

Top