Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis berkas lelaki didakwa lempar kata perkauman, tendang wanita di Choa Chu Kang

Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas setelah seorang wanita berusia 55 tahun dipercayai diserang dan dilempar dengan kata-kata berbaur perkauman ketika berjalan di Choa Chu Kang Drive minggu lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis berkas lelaki didakwa lempar kata perkauman, tendang wanita di Choa Chu Kang

(Gambar: Parveen Kaur)

Diterbitkan : 11 May 2021 10:02PM Dikemas Kini : 11 May 2021 10:04PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun diberkas setelah seorang wanita berusia 55 tahun dipercayai diserang dan dilempar dengan kata-kata berbaur perkauman ketika berjalan di Choa Chu Kang Drive minggu lalu.

Lelaki berbangsa Cina itu diberkas kerana "menyebabkan gangguan kepada orang ramai dengan niat menyinggung perasaan kaum lain dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja", menurut Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Selasa (11 Mei).

Wanita itu yang berbangsa India, sedang berjalan di laluan pejalan kaki di Choa Chu Kang Drive pada kira-kira 8.45 pagi pada 7 Mei apabila sepasang lelaki dan wanita berbangsa Cina bersemuka dengannya dan menyuruhnya memakai pelitup dengan betul, menurut SPF dalam satu kenyataan media.

"Dia dipercayai bertengkar dengan lelaki itu. Lelaki itu didakwa mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman lalu menyerangnya, menyebabkan wanita itu terjatuh," menurut polis.

Pasangan itu kemudian meninggalkan tempat kejadian dan wanita itu dibantu oleh orang awam.

Siasatan masih dijalankan, menurut polis.

Jika didapati bersalah menyebabkan gangguan kepada orang awam, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga bulan, didenda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan meluahkan kata-kata kesat dengan niat mengguris perasaan kaum sesiapa, hukumannya adalah tempoh penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Hukuman bagi kesalahan menyebabkan kecederaan dengan sengaja adalah penjara sehingga tiga tahun, denda sehingga S$5,000 atau kedua-duanya.

"Polis memandang serius tindakan sedemikian yang boleh menjejas keharmonian kaum di Singapura," menurut SPF.

"Sesiapa yang mengeluarkan komen atau melakukan tindakan yang boleh menyebabkan permusuhan dan menyinggung perasaan kaum-kaum berbeza akan ditangani segera mengikut undang-undang," tambahnya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan