Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis beri amaran penipuan pinjaman guna surat, emel palsu dari bank, agensi pemerintah

Polis memerhatikan satu kaedah penipuan pinjaman baru yang melibatkan surat atau emel palsu daripada bank atau agensi pemerintah, meminta mangsa membayar yuran pentadbiran sebelum menerima pinjaman mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
Polis beri amaran penipuan pinjaman guna surat, emel palsu dari bank, agensi pemerintah

Surat-surat yang dikatakan dari bank atau agensi pemerintah disampaikan kepada mangsa penipuan untuk meyakinkan mereka supaya membuatpembayaran sebelum pinjaman mereka dapat dilunaskan. (Gambar: SPF)

Diterbitkan : 26 May 2021 12:18PM Dikemas Kini : 26 May 2021 12:19PM

SINGAPURA: Polis memerhatikan satu kaedah penipuan pinjaman baru yang melibatkan surat atau emel palsu daripada bank atau agensi pemerintah, meminta mangsa membayar yuran pentadbiran sebelum menerima pinjaman mereka.

Sekurang-kurangnya 20 aduan dibuat antara Januari dengan April tahun ini dengan kehilangan bernilai lebih S$200,000, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan pada Rabu (26 Mei).

Dalam kes-kes ini, para mangsa akan menerima kiriman mesej tidak diminta atau terlihat lelaman atau iklan yang menawarkan pinjaman.

Para mangsa yang menjawab dengan niat mahu mengambil pinjaman akan dialihkan ke WhatsApp untuk mengemukakan permohonan pinjaman mereka. Penipu kemudian akan meminta butiran peribadi mangsa supaya permohonan pinjaman boleh diproses.

Selepas itu, penipu akan memaklumkan kepada mangsa bahawa pinjaman mereka sudah diluluskan sebelum meminta mereka untuk membuat pembayaran dalam pelbagai jumlah sebagai cagaran, yuran pemprosesan atau yuran pemindahan.

Menurut polis, penipu akan menunjukkan surat atau emel palsu yang menurut mereka adalah daripada pihak bank atau agensi pemerintah seperti Penguasa Kewangan Singapura ataupun Mahkamah Negara, yang akan menunjukkan bahawa pembayaran dikehendaki di bawah peraturan khusus sebelum pinjaman boleh diberikan.

Mangsa hanya akan menyedari mereka diperdaya apabila mereka tidak menerima pinjaman itu, tambah polis.

Pihak berkuasa mengingatkan oram awam bahawa pemiutang berlesen tidak dibenarkan meminta pinjaman melalui mesej, panggilan telefon atau wadah media sosial.

Pemiutang ini juga dikehendaki berjumpa langsung dengan peminjam di tempat perniagaan yang diluluskan untuk melakukan pengesahan identiti secara bertemu muka sebelum memberikan sebarang pinjaman. Urus niaga pinjaman tidak dibenarkan untuk dilakukan secara online sepenuhnya.

Pemiutang berlesen juga tidak akan meminta pemohon untuk membuat pembayaran bagi menjamin pembayaran pinjaman termasuk GST, "yuran pentadbiran" dan "yuran pemprosesan". Yuran pemprosesan atau pembayaran cukai kepada agensi pemerintah juga tidak diperlukan.

Alamat perniagaan setiap pemiutang berlesen diterbitkan di lelaman web Kementerian Undang-Undang.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan