Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

POFMA: Peguam Lim Tean diarah betulkan catatan Facebook

Peguam Singapura Lim Tean diarah untuk membetulkan dua catatan Facebooknya berkaitan jumlah yang dibelanjakan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi para pelajar tempatan dan asing, menurut pihak berkuasa pada Isnin (16 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Dec 2019 05:24PM Dikemas Kini : 16 Dec 2019 11:00PM

SINGAPURA: Peguam Singapura Lim Tean diarah untuk membetulkan dua catatan Facebooknya berkaitan jumlah yang dibelanjakan Kementerian Pendidikan (MOE) bagi para pelajar tempatan dan asing, menurut pihak berkuasa pada Isnin (16 Dis).

MOE menyatakan ia mengarahkan Pejabat Akta Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA) untuk mengeluarkan Arahan Pembetulan kepada Encik Lim Team atas kenyataan-kenyataan palsu yang dibuat dalam dua catatan Facebook beliau.

Ini adalah kali keempat arahan pembetulan dikeluarkan sejak POFMA berkuat kuasa Oktober lalu.

Pada Sabtu (14 Dis), arahan dikeluarkan kepada Parti Demokratik Singapura (SDP). Sebelum itu, arahan serupa dikeluarkan kepada anggota Parti Kemajuan Singapura Brad Bowyer dan States Times Review.

PASLU DAN MENGELIRUKAN

Dua catatan Facebook yang dikongsi pada 12 Disember oleh Lim Tean mengandungi kenyataan-kenyataan palsu dan mengelirukan,menurut satu artikel oleh Factually, sebuah laman Pemerintah yang memeriksa fakta.

Dalam catatan Facebook beliau, Encik Lim, yang juga pemimpin parti politik Suara Rakyat menulis: "PAP membelanjakan S$167 juta bagi Geran dan Dermasiswa untuk rakyat Singapura tetapi S$238 juta buat pelajar asing??".

Ini memberi gambaran bahawa MOE memperuntukkan perbelanjaan yang lebih tinggi untuk para pelajar asing berbanding rakyat Singapura.

MOE menegaskan, kenyataan itu "palsu dan mengelirukan".

Pemerintah menjelaskan belanjawan tahunan MOE berjumlah S$13 bilion dan hampir semuanya dibelanjakan bagi pendidikan rakyat Singapura.

Menurut MOE, wang S$167 juta yang disebut Encik Lim itu merujuk hanya kepada dermasiswa untuk para pelajar rakyat Singapura di institusi-institusi pengajian tinggi.

Ia menambah perbandingan yang lebih wajar sepatutnya dibuat terhadap peruntukan S$13 bilion bagi subsidi pendidikan untuk rakyat Singapura.

Ini berbanding S$238 juta bagi pelajar asing yang membentuk kurang 2 peratus daripada keseluruhan belanjawan.

MOE menjelaskan sebahagian besar daripada S$200 juta yang dibelanjakan bagi pelajar asing meliputi kos termasuk prasarana, kemudahan dan tenaga pengajar.

Kos tersebut perlu dikeluarkan bagi semua pelajar dan pelajar asing hanya membentuk 5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Pemerintah menambah para pelajar asing membantu memperkenalkan kepelbagaian ke dalam bilik darjah di samping membangunkan kecekapan silang budaya pelajar tempatan.

Ia menekankan tiada warga Singapura akan terlepas peluang pendidikan disebabkan oleh pelajar asing.

Encik Lim adalah peguam bagi penulis blog Leong Sze Hian dalam kes fitnah melibatkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Ahli politik pembangkang itu berkata beliau sedang menimbangkan pilihan-pilihan tindakan guaman setelah MOE menggunakan undang-undang POFMA ke atasnya.

"Ia adalah jelas buat saya bahawa POFMA digunakan oleh pemerintah ini menjelang Pilihan Raya akan datang untuk tutup mulut para pembangkang dan mengekang perbincangan awam mengenai dasar-dasar pemerintah yang tidak popular," kata beliau.

Arahan Pembetulan itu mewajibkan Encik Lim meletakkan notis pembetulan secara lengkap di bahagian atas kenyataan-kenyataannya di laman Facebook tersebut. 

Sumber : CNA/FZ/MM/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan