Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee umum skim bangunkan semula flat lama HDB sebelum tempoh pajakan tamat

Pemerintah sedang merancangkan satu skim baru yang membolehkan lebih banyak keluarga di flat-flat HDB meraih manfaat daripada pembangunan semula sebelum tempoh pajakan flat-flat mereka berakhir.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee umum skim bangunkan semula flat lama HDB sebelum tempoh pajakan tamat

Gambar fail flat-flat HDB. (Gambar: Hester Tan)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 11:02PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 11:06PM

SINGAPURA: Pemerintah sedang merancangkan satu skim baru yang membolehkan lebih banyak keluarga di flat-flat HDB meraih manfaat daripada pembangunan semula sebelum tempoh pajakan flat-flat mereka berakhir.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela atau VERS dalam ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018.

Skim itu merupakan sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk membolehkan Pemerintah membangunkan semula kejiranan-kejiranan secara berperingkat-peringkat.

Ia akan dilakukan ke atas flat-flat yang sudah berusia kira-kira 70 tahun.

PM Lee berkata pemerintah akan memberi pampasan kepada para penduduk yang flat-flat mereka diambil semula lebih awal.

Mereka juga akan dibantu untuk mendapatkan flat lain, sama seperti yang akan dilakukan jika tempoh pajakan flat mereka berakhir.

Bagaimanapun, syarat-syarat bagi skim VERS kurang 'murah hati' jika dibandingkan dengan Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok atau SERS kerana "kurang menghasilkan keuntungan dari segi kewangan".

Lantaran itu, Skim VERS bersifat sukarela.

Para penduduk perlu mengundi memberi 'lampu hijau' kepada VERS sebelum ia dapat dilakukan.

Perdana Menteri turut menerangkan sekiranya para pengundi memberikan persetujuan mereka, pemerintah akan membeli semula seluruh kejiranan, semua flatnya dan membangunkannya semula.

Para penduduk yang berkenaan boleh menggunakan hasil penjualan flat mereka untuk membantu membayar flat yang lain.

"Jika para penduduk mengundi menolak VERS, mereka boleh terus tinggal di flat-flat mereka sehinggalah tempoh pajakannya berakhir", kata PM Lee.

Namun PM Lee berkata pemerintah memerlukan masa untuk menyiapkan perincian skim itu seperti cara memilih sesebuah kejiranan, rentak pembangunan semula dan syarat-syarat khusus tawaran pemerintah.

Pemerintah juga, tambahnya, perlu mengkaji kemampuan melakukan VERS bagi jangka panjang.

Oleh itu, skim tersebut bakal dimulakan 20 tahun akan datang tetapi perancangannya perlu dibuat sekarang.

PERLUNYA PEMBANGUNAN SEMULA DILAKUKAN SECARA BERPERINGKAT-PERINGKAT

Menjelaskan rasional di sebalik skim VERS, PM Lee berkata Pemerintah mempunyai alasan yang baik untuk mengambil semula lebih banyak flat lama dan membangunkannya semula sebelum tempoh pajakannya selama 99 tahun berakhir.

PM Lee menambah apabila bandar-bandar HDB menjadi semakin tua dan tempoh pajakan flat-flatnya hampir tamat, adalah perlu untuk membangunkan semula bandar-bandar itu.

Pemerintah, katanya, mahu melakukannya dengan cara yang teratur.

Beliau menerangkan bahawa HDB sering membina flat-flat dengan "sangat tergesa-gesa" pada masa lalu kerana masalah kekurangan rumah dan beberapa estet lama HDB seperti Marine Parade, Ang Mo Kio dan Bedok dibina dalam masa yang singkat.

"Jika kita tidak membuat perancangan awal, 99 tahun kemudian, tempoh pajakan semua flat di estet-estet sedemikian akan berakhir pada masa yang hampir sama dan semua flatnya perlu dipulangkan kepada negara dalam masa beberapa tahun", kata PM Lee.

"Kita perlu mencarikan rumah baru secara serentak bagi ramai orang dan HDB perlu meroboh dan membangunkan semula flat-flat lama dengan cepat, sama seperti ketika kita mula-mula membangunkan Marine Parade, Ang Mo Kio dan Bedok,” tambah beliau.

"Saya berpendapat ia bukan satu idea yang baik", kata PM Lee lagi. "Estet-estet itu akan kembali menjadi tapak-tapak binaan dengan kren di merata tempat.

Oleh itu, kata PM Lee, bandar-bandar lama perlu dibangunkan semula secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 20 hingga 30 tahun berbanding empat hingga lima tahun.

Ini bermakna langkah itu perlu dimulakan apabila flat-flat sudah berusia sekurang-kurangnya 70 tahun.  

Sumber : CNA/MU/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan