Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee ucap terima kasih kepada DPM Heng atas 'keputusan tidak pentingkan diri sendiri'

PM Lee ucap terima kasih kepada DPM Heng atas 'keputusan tidak pentingkan diri sendiri'.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee ucap terima kasih kepada DPM Heng atas 'keputusan tidak pentingkan diri sendiri'

PM Lee Hsien Loong di sidang media pada 8 April 2021. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 08 Apr 2021 08:51PM Dikemas Kini : 08 Apr 2021 09:20PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong hari ini (8 Apr) mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Heng Swe Keat atas "keputusan tidak mementingkan diri sendiri" ketika mengundurkan diri sebagai ketua menteri generasi keempat (4G) negara.

PM Lee berkata demikian selepas menerima surat daripada Encik Heng, yang mengumumkan hasratnya untuk melngurkan diri sebagai ketua pasukan 4G, bagi membolehkan seorang pemimpin lebih muda untuk mengambil alih.

Merujuk kepada tuntutan dunia pasca COVID-19, Encik Heng berkata: "Meskipun kesihatan saya baik sekarang, ini demi kepentingan negara, bagi seseorang lebih muda menangani cabaran-cabaran besar yang akan datang."

Encik Heng adalah "anggota penting" pasukannya sejak 10 tahun lalu, kata PM Lee semasa sidang media hari ini.

PM Lee, DPM Heng dan para menteri 4G yang lain termasuk Menteri Pendidikan Lawrence Wong, Menteri Kesihatan Gan Kim Yong, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing turut menghadiri sidang media itu.

Dalam suratnya kepada Encik Heng, PM Lee berkata beliau memahami dan menghormati keputusan Encik Heng.

Sedang Encik Heng meneruskan tugas sebagai timbalan perdana menteri merangkap menteri penyelaras bagi dasar ekonomi, beliau akan melepaskan portfolio kewangan semasa rombakan Kabinet akan datang seperti yang dirancang sebelum ini, kata PM Lee.

Encik Heng juga akan kekal sebagai penolong pertama setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Anda sudah menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan dengan cemerlang, lebih-lebih lagi sepanjang tahun lalu dalam keadaan yang mencabar setelah dibadai pandemik COVID-19," tulis PM Lee.

"Dalam tempoh 12 bulan, anda membentangkan lima Belanjawan, yang tidak pernah dilakukan sebelum ini, yang menyokong rakyat Singapura dan keluarga mereka, membantu perniagaan-perniagaan untuk bertahan dan memastikan semua orang selamat. Ternyata, dalam tempoh lima tahun anda menjalankan tugas sebagai Menteri Kewangan, anda sudah membentangkan jumlah rekod 10 belanjawan."

PM Lee mengakui "tugas berat" yang digalas Encik Heng semasa menyandang jawatan menteri kewangan pada 2015.

"Malah sebelum COVID-19 melanda, Singapura sudah berada di persimpangan. Kita terpaksa mengharungi cabaran-cabaran kewangan di samping memperkukuh jaringan keselamatan sosial serta merubah ekonomi kita di tengah-tengah gangguan-gangguan seismik global."

PM Lee berkata Encik Heng tidak teragak-agak untuk menyahut cabaran itu dan meletakkan "jiwa dan raga" dalam menjalankan kerja, sambil menambah bahawa kerjasama Encik Heng dengan Jawatankuasa Ekonomi Masa Depan dan Majlis Ekonomi Masa Depan membantu para pekerja menimba kemahiran-kemahiran dan keupayaan-keupayaan baru dan "membangunkan industri-industri serta sektor-sektor baru bagi masa depan".

PM Lee menambah beliau berharap dapat melihat Encik Heng meneruskan tugasnya sebagai menteri penyelaras bagi dasar-dasar ekonomi.

"Ini bersesuaian dengan peranan anda sebagai Pengerusi Yayasan Kajian Kebangsaan, di mana di bawah bimbingan anda kita menunjukkan kemajuan dalam membangunkan kajian, inovasi dan keusahawanan."

DPM Heng dan PM Lee sudah membincangkan keputusan Encik Heng untuk melepaskan portfolio kewangan pada tahun lalu, semasa melakarkan pelantikan-pelantikan Kabinet menyusuli pilihan raya umum, kata PM Lee semasa sidang media tadi.

"Kami bersetuju bahawa Belanjawan 2021 akan menjadi belajawan penting, bukan belanjawan kecemasan seperti lima yang dibentangkan pada 2020, tetapi belanjawan untuk memacu Singapura selepas COVID-19," ujar beliau.

"Saya memberitahu beliau bahawa baik untuk mereka mengendalikan Belanjawan 2021 dan kemudian beliau boleh melepaskan portfolio MOF (Kementerian Kewangan) untuk memberi tumpuan kepada tanggungjawab-tanggungjawab penyelarasan yang lebih meluas."

Ini bermakna akan ada perubahan dalam kementerian-kementerian lain dan beliau akan mengumumkan rombakan Kabinet dalam tempoh dua minggu, kata PM Lee.

DPM HENG AKAN BIMBING MENTERI-MENTERI MUDA

Menerusi suratnya, PM Lee juga berkata Encik Heng pernah berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan (MOE) selama lima tahun sebelum menyandang jawatan menteri kewangan.

"Semasa di sana, visi kecemerlangan inklusif yang anda tetapkan bagi setiap sekolah menjadi sumber inspirasi kepada para pendidik dan juga pelajar," kata beliau.

Encik Heng sudah menyarankan agar pendidikan universiti yang dibiayai pemerintah ditambah kepada 40 peratus bagi setiap kohort, yang kemudian membuka laluan kepada wujudnya dua universiti baru, kata PM Lee.

Dua universiti itu adalah Institut Teknologi Singapura dan Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS).

PM Lee juga berkongsi bagaimana Encik Heng meluaskan penakrifan kejayaan, yang membawa kepada program kebangsaan SkillsFuture, dan menekankan pembangunan perwatakan dan nilai-nilai dalam golongan muda.

"Hasilnya adalah sistem pendidikan yang bukan setakat mempersiap anak-anak muda kita untuk mendapatkan pekerjaan yang baik, tetapi juga membentuk rakyat yang berwibawa dan bersemangat awam," kata beliau.

Keputusan Encik Heng mengundurkan diri sebagai pemimpin 4G "sejajar dengan semangat khidmat awam dan rasa tanggungjawab" yang mendorongnya untuk tampil ke depan apabila diminta bertanding dalam pilihan raya 2011, kata PM Lee.

"Bersama dengan para Menteri Kanan, anda akan membantu saya membimbing menteri yang lebih muda sedang pasukan ini membangun dan mengenal pasti dalam kalangan mereka seorang lagi pemimpin, untuk membuat peralihan kepimpinan yang lancar dan sesuai pada masanya.

"Dengan bekerjasama, kita akan membawa Singapura mengharungi krisis kesihatan dan ekonomi ini serta memperkukuh masa depan kita bagi tahun-tahun mendatang."

Merujuk kepada kenyataan pasukan 4G bahawa ini adalah "kegenjotan besar" terhadap perancangan menggantikan tampuk kepimpinan baru,Encik Lee semasa sidang media itu berkata beliau bersetuju untuk terus menjadikan Perdana Menteri sehingga seorang pemimpin baru dipilih dan bersedia mengambil alih.

"Saya rasa ini akan mengambil masa yang lebih lama berbanding hanya beberapa bulan, tetapi saya harap bahawa (para pemimpin 4G) akan mencapai kata sepakat dan mengenal pasti seorang pemimpin baru sebelum pilihan raya umum akan datang. Saya tidak berniat untuk kekal lebih lama daripada yang diperlukan," kata beliau.

Sumber : CNA/SU/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan