Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee ucap tahniah kepada Perdana Menteri baru Jepun Yoshihide Suga

Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (16 Sep) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri baru Jepun, Yoshihide Suga, sambil mengatakan pelantikan beliau adalah "bukti keyakinan" terhadap keupayaannya untuk menerajui negara mengharungi masa-masa sukar ini. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee ucap tahniah kepada Perdana Menteri baru Jepun Yoshihide Suga

Perdana Menteri Jepun yang baru dipilih, Yoshihide Suga. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 16 Sep 2020 10:39PM Dikemas Kini : 16 Sep 2020 10:42PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Rabu (16 Sep) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri baru Jepun, Yoshihide Suga, sambil mengatakan pelantikan beliau adalah "bukti keyakinan" terhadap keupayaannya untuk menerajui negara mengharungi masa-masa sukar ini.

Dalam suratnya, Encik Lee juga berkata beliau mengalu-alukan untuk bekerjasama dengan Encik Suga bagi memperkukuhkan hubungan antara Singapura dengan Jepun dan mengundangnya untuk melawat Singapura tidak lama lagi.

Pelantikan Encik Suga adalah penegasan terhadap "khidmat cemerlang beliau sebagai Ketua Setiausaha Kabinet buat bertahun-tahun lamanya", kata Encik Lee dalam surat itu.

Encik Lee juga menyentuh tentang pandemik COVID-19 yang melanda sekarang dengan mengatakan bahawa Singapura dan Jepun "telah menunjukkan daya tahan hubungan kita yang sangat baik".

"Kami sudah bekerjasama rapat untuk mengekalkan ketersambungan rantaian bekalan, menyambung semula perjalanan dan menyokong pemulihan ekonomi kita," kata Encik Lee sambil menambah bahawa tahun depan akan menandakan ulang tahun ke-55 terjalinnya hubungan diplomatik antara Singapura dengan Jepun.

Encik Lee berkata bahawa Jepun tetap rakan kongsi ASEAN yang dihargai, dengan kedua-dua negara berkongsi "kerjasama luas dan substantif dalam banyak bidang merangkumi dari kerjasama ekonomi dan pengurusan bencana hingga ke ketersambungan serta pembangunan keupayaan".

HUBUNGAN S'PURA-JEPUN DIPERKUKUH DI BAWAH PIMPINAN SHINZO ABE

Encik Lee juga menulis surat penghargaan kepada perdana menteri Jepun, Shinzo Abe, yang mengundurkan diri, sambil mengatakan bahawa beliau melepaskan jawatan dengan "rekod yang mengagumkan".

Encik Lee berharap Encik Abe, yang meletak jawatan akibat masalah kesihatan, akan pulih sepenuhnya.

Encik Abe sudah meraih pencapaian penting yang bersejarah dengan menjadi perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun. Sepanjang tempoh itu, pembaharuan yang dilakukannya "mendapat pengiktirafan dan pujian", kata Encik Lee.

Beliau menyenaraikan beberapa penyusunan semula yang dijalankan oleh Encik Abe termasuk 'Abenomic', 'Womenomic' dan Masyarakat 5.0 serta peralihan bersejarah Jepun dari era Heisei ke era Reiwa.

"Ia menjadi satu penghormatan untuk berganding bahu dengan anda selama hampir satu dekad, selama dua penggal khidmat anda," kata Encik Lee sambil menambah bahawa hubungan Singapura-Jepun "terus diperkukuh" di bawah pemerintahan Encik Abe.

Encik Lee menambah pengumuman baru-baru ini tentang penyambungan semula perjalanan perniagaan antara Jepun dengan Singapura tidak mungkin terlaksana tanpa kepimpinan Encik Abe.

"Anda seorang rakan yang baik, kedua-dua bagi Singapura dan juga saya secara peribadi," kata Encik Lee.

"Saya berbesar hati dapat bekerjasama dengan anda untuk mengeratkan lagi hubungan antara negara kita. Anda sudah memperkukuh jalinan erat kita, sesuatu yang saya nantikan untuk terus membina bersama pengganti anda," tambah beliau. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan