Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee terima dos perangsang vaksin COVID-19 hari ini

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerima dos perangsang vaksin COVID-19 di Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini (17 Sep), hampir lapan bulan setelah mendapatkan dos kedua.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 17 Sep 2021 10:58AM Dikemas Kini : 17 Sep 2021 09:24PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerima dos perangsang vaksin COVID-19 di Hospital Besar Singapura (SGH) hari ini (17 Sep), hampir lapan bulan setelah mendapatkan dos kedua.

Pemerintah pada awal bulan ini mengumumkan bahawa ia akan mula memberikan dos perangsang kepada individu yang mempunyai daya imun sederhana atau lemah, serta individu berusia 60 tahun ke atas dan penduduk di kemudahan jagaan warga emas.

Dalam satu catatan Facebook, PM Lee, 69 tahun, menggalakkan individu lain untuk mengambil dos perangsang jika ia diberikan kepada mereka.

"Kes-kes meningkat dengan pantas. Suntikan dos perangsang akan meningkatkan perlindungan anda terhadap COVID-19," kata Encik Lee.

"Jika anda ditawarkan dos perangsang, sila dapatkannya. Ia akan mengurangkan kemungkinan anda mengalami jangkitan teruk atau memerlukan rawatan ICU."

PM Lee selesai menjalani rejimen vaksinasinya menggunakan vaksin Pfizer-BioNTech pada hujung Januari.

Jawatankuasa Pakar bagi Vaksinasi COVID-19 menyarankan individu berusia 60 tahun dan ke atas supaya mengambil dos perangsang vaksin mRNA sekitar enam hingga sembilan bulan setelah mereka selesai menjalani rejimen vaksinasi.

Warga emas yang selesai mengambil dua dos vaksin sekurang-kurangnya enam bulan lalu akan menerima kiriman SMS dengan pautan peribadi untuk membuat temu janji bagi mendapatkan dos ketiga, kata PM Lee.

Golongan warga emas berisiko mengalami jangkitan COVID-19 yang serius dan mungkin berdepan respons daya imun yang lebih rendah daripada dua dos vaksin yang diterima sebelum ini, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam membuat pengumuman itu.

Ini ditambah dengan jangkaan daya imun mereka akan merosot selepas beberapa waktu, memandangkan ramai disuntik vaksin lebih awal, tambah MOH.

Bagi individu dengan daya imun yang lemah, mereka mempunyai "respons daya imun lemah" kepada vaksinasi, dan juga berisiko tinggi menghidap jangkitan teruk COVID-19, menurut MOH pada ketika itu.

Mereka harus mendapatkan dos ketiga vaksin mRNA yang sama dua bulan selepas mendapatkan dos kedua, "sebagai sebahagian daripada kempen vaksinasi untuk memastikan bahawa mereka mendapat respons perlindungan imun yang mencukupi kepada vaksinasi", menurut MOH.

Individu dengan daya imun lemah akan dihubungi oleh para doktor mereka, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung.

Singapura juga sedang mengkaji kemungkinan menggunakan vaksin bukan mRNA sebagai dos perangsang dan sedang berunding dengan pihak pembekal untuk mendapatkan bebuli, kata Menteri Negara Kanan Kementerian Kesihatan Janil Puthucheary pada Selasa (14 Sep).

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan