Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, Setiausaha Perdagangan AS Raimondo adakan rundingan kerjasama ekonomi

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau sudah mengadakan "pertemuan yang baik" bersama Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo hari ini (16 Nov), iaitu hari pertama lawatan dua harinya ke Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, Setiausaha Perdagangan AS Raimondo adakan rundingan kerjasama ekonomi

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Setiausaha Perdagangan AS Gina Raimondo di Istana, Singapura pada 16 Nov 2021. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 16 Nov 2021 06:07PM Dikemas Kini : 16 Nov 2021 06:09PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata beliau sudah mengadakan "pertemuan yang baik" bersama Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat Gina Raimondo hari ini (16 Nov), iaitu hari pertama lawatan dua harinya ke Singapura.

Kedua-dua pemimpin membincangkan potensi kerjasama dalam bidang-bidang seperti ekonomi mampan dan digital serta ketahanan rantaian bekalan, "bagi menangani isu-isu semasa dan mewujudkan peluang bagi para penduduk masing-masing", menurutnya dalam satu catatan Facebook.

PM Lee berkata hubungan ekonomi antara Singapura dengan AS "bertambah erat walaupun dengan situasi COVID-19".

Jalinan hubungan itu dipacu oleh Perjanjian Perdagangan Bebas AS-Singapura dan Perkongsian bagi Pertumbuhan dan Inovasi yang dimeterai baru-baru ini, katanya.

Perkongsian bagi Pertumbuhan dan Inovasi dimeterai pada bulan lalu oleh Cik Raimondo dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Gan Kim Yong semasa lawatannya ke Amerika Syarikat.

"Sedang kami membuka semula sempadan secara bertahap-tahap dan menyambung semula ketersambungan antara penduduk kedua-dua negara, saya mengalu-alukan kerjasama dengan AS bagi memperkukuh pemulihan ekonomi daripada pandemik," kata PM Lee.

Singapura merupakan tempat persinggahan kedua Cik Raimondo dalam lawatan rasminya yang pertama ke Asia sejak beliau mula berkhidmat pada Mac lalu.

Lawatannya bermula di Tokyo, di mana para pegawai Jepun dan AS pada Isnin (15 Nov) bersetuju untuk memulakan perbincangan tentang tarif tambahan yang dikenakan oleh Pentadbiran Trump terhadap import besi keluli dan aluminium dari Jepun.

Cik Raimondo akan meneruskan dengan bahagian terakhir lawatannya ke Kuala Lumpur lusa (18 Nov).

Di Singapura, beliau akan menyertai Forum Ekonomi Baru Bloomberg dan acara "Women in Tech: Seizing Opportunities in the Digital Economy" bersama para pemimpin perniagaan.

Beliau juga dijangka bertemu dengan Menteri Perdagangan dan Pertumbuhan Eksport New Zealand Damien O'Connor dan Menteri Perdagangan, Pelancongan dan Pelaburan Australia Dan Tehan ketika berada di Singapura.

Mereka akan membincangkan tentang "kerjasama untuk membangunkan sebuah rangka kerja ekonomi Indo-Pasifik", menurut Jabatan Komersil AS.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik antara Singapura dengan AS.

Lawatan Cik Raimondo ini merupakan kali ketiga seorang pegawai AS di peringkat Kabinet atau lebih tinggi mengunjungi Singapura pada tahun ini.

Naib Presiden Kamala Harris melakukan lawatan selama tiga hari ke Singapura pada Ogos, sebulan selepas Setiausaha Pertahanan Lloyd J Austin III melakukan lawatan rasminya.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan