Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee 'sangat berterima kasih Panasonic beri kepercayaan kepada Singapura'

Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (24 Sep) berkata beliau "sangat berterima kasih kerana Panasonic memberi kepercayaan kepada Singapura". Ini menyusuli pengumuman syarikat itu bahawa ia akan menghentikan operasi pengeluaran pemampat penyejukan di negara ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee 'sangat berterima kasih Panasonic beri kepercayaan kepada Singapura'

(Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 05:37PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 05:43PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (24 Sep) berkata beliau "sangat berterima kasih kerana Panasonic memberi kepercayaan kepada Singapura". Ini menyusuli pengumuman syarikat itu bahawa ia akan menghentikan operasi pengeluaran pemampat penyejukan di negara ini.

"Ia mendukacitakan apabila mendengar bahawa Panasonic akan menutup kilang pemampat penyejukannya di sini," tulis beliau dalam catatan di Facebook.

"Kami sangat berterima kasih kerana Panasonic memberi kepercayaan kepada Singapura dan sudah mendampingi kami sepanjang tempoh yang lebih baik dalam sejarah kami."

Sekitar 700 kakitangan syarikat itu di Singapura akan kehilangan pekerjaan menyusuli langkah Panasonic untuk hentikan operasi menjelang hujung September tahun depan.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Khamis (23 Sep), firma Jepun itu menyatakan "unjuran perniagaan global yang mencabar" serta "semakan strategik perniagaan jangka panjang Panasonic bagi portfolio perniagaan pemampat penyejukan" sebagai sebab-sebab di sebalik keputusannya.

Kilang yang membuat pemampat penyejukan itu ditubuhkan di Singapura pada 1972 dan sejak itu ia sudah mengeluarkan dan membekalkan 285 juta pemampat ke seluruh dunia.

"Saya secara peribadi berpeluang menyertai Panasonic untuk meraikan pengeluaran pemampat mereka yang ke-100 juta di dunia pada 1989," kata PM Lee.

Beliau menambah sebanyak sepertiga pemampat yang dikeluarkan adalah daripada kilang Singapura, yang merupakan loji kedua terbesar seumpamanya di dunia pada masa itu.

Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) bersama Persatuan Pekerja Industri Elektronik dan Elektrikal (UWEEI) akan menghulurkan sokongan kepada pekerja yang terjejas dan membantu mereka mencari pekerjaan lain, tambah PM Lee.

IBU PEJABAT GLOBAL PEMAMPAT PENYEJUKAN TETAP DI SINGAPURA

Meskipun kilangnya bakal ditutup, ibu pejabat global pemampat penyejukan Panasonic, serta fungsi penyelidikan dan pembangunannya (R&D) akan kekal di Singapura, kata beliau.

"Singapura dan terutama sekali Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) sangat menghargai pelabur seperti Panasonic dan akan terus bekerjasama dengan mereka untuk mewujudkan pekerjaan dan peluang untuk warga Singapura."

Syarikat itu pada Khamis berkata Singapura kekal sebagai "hab serantau dan penting" bagi Panasonic.

"Kami akan terus melabur di Singapura bagi menyokong strategi pertumbuhan dalam rantaian bekalan bernilai tinggi dan terus menyumbang kepada masyarakat dalam Asia Pasifik dan menjangkauinya."

Menjawab pertanyaan seorang wartawan mengenai pemberhentian pekerja di Panasonic, Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini berkata bahawa sebuah pasukan bertindak bagi pemberhentian kerja, yang disertai gerakan buruh dan agensi pemerintah lain, kini berada "di barisan hadapan" dalam membantu para pekerja yang diberhentikan.

"Mereka juga sedang bekerjasama dengan syarikat itu untuk melihat bagaimana untuk memadankan para pekerja terjejas dengan pekerjaan baru yang sedia ada. Saya fikir situasi yang kita hadapi sekarang, seperti yang dikongsi dalam laporan saya sebelum ini adalah kami kini mempunyai lebih banyak jawatan kosong berbanding pencari kerja," kata Dr Tan.

"Jadi kami harap dapat mencarikan ganti bagi mereka secepat mungkin."

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan