Images
  • thai shooting
    Orang ramai meninggalkan jambak bunga dan mesj bertulis di hadapan pusat beli-belah Terminal 21 setelah insiden menembak di Nakhon Ratchasima, Thailand. (Gambar: Soe Zeya Tun/Facebook)

PM Lee rakam takziah selepas kejadian tembakan beramai-ramai di Thailand

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis kepada rakan sejawatannya di Thailand, Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha, menyusuli kejadian seorang askar yang mengamuk dan melepaskan tembakan menyebabkan 29 orang maut.

Dalam satu kenyataan media pada Jumaat (14 Feb), Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menyatakan PM Lee mengucapkan takziah atas kehilangan nyawa yang tragik dalam insiden tembakan di Nakhon Ratchasima pada 8 Februari.

Dalam surat takziahnya yang bertarikh 11 Februari, Encik Lee memberitahu PM Prayut beliau "terkejut untuk mengetahui tentang insiden tembakan beramai-ramai" yang "meragut banyak jiwa tidak bersalah dan mencederakan puluhan lain orang".

"Bagi pihak pemerintah Singapura, saya menyampaikan ucapan takziah paling mendalam kepada keluarga mangsa dan berharap yang tercedera akan cepat sembuh.

"Tindakan keganasan tidak masuk akal ini wajar dikutuk dengan sekeras-kerasnya. Singapura berdiri bersama Thailand semasa waktu sukar ini," kata Encik Lee.

Dengan senjata automatik, Jakrapanth Thomma menembak orang ramai di beberapa tempat dan menyembunyikan dirinya lebih 12 jam di pusat beli-belah Terminal 21 sebelum ditembak mati oleh para pegawai unit komando.

Pembunuhan tersebut bermula dengan lelaki bersenjata itu menembak pegawai komander dan ibu mertua komando itu angkara pertelingkahan perniagaan.

Dia kemudian memandu ke pangkalan tenteranya, mencuri lebih banyak senjata api serta peluru dan melepaskan tembakan sepanjang perjalanan ke sebuah kuil Buddha sebelum pergi ke pusat beli-belah berkenaan.

Gambar dan video insiden itu menunjukkan para pegawai penguatkuasaan pergi dari aras ke aras untuk memindahkan orang ramai, kebanyakannya menyembunyikan diri mereka di dalam almari, bilik stor dan tandas.  

- CNA/FZ/fz

Top