Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee puji pencapaian masyarakat Melayu S'pura dalam pendidikan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong memuji pencapaian masyarakat Melayu Singapura dalam bidang pendidikan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong memuji pencapaian masyarakat Melayu Singapura dalam bidang pendidikan.

Hasil daripada penekanan terhadap pendidikan, kemajuan orang Melayu kini semakin ketara.

PM Lee berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu di Rapat Umum Hari Kebangsaan yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal Ang Mo Kio hari ini (18 Ogos).

Sebagai contoh, PM Lee merujuk kepada jumlah penerima biasiswa yang kian meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu.

Salah satu daripadanya yang didedahkan oleh PM Lee adalah Anugerah Mendaki.

Hanya dalam tempoh 10 tahun sahaja, jumlah penerima Anugerah Mendaki yang lulus dengan ijazah kepujian kelas pertama sudah melonjak sebanyak 10 kali ganda.

Ini berbanding setakat tujuh penerima saja pada tahun 2007.

"Generasi demi generasi, kita lihat kian ramai orang Melayu berkelayakan tinggi, dengan pekerjaan yang lebih baik, serta mutu hidup yang lebih makmur dan bermakna," kata PM Lee.

Ini membuktikan generasi muda Melayu kini cemerlang. Malah mereka juga memainkan peranan penting dalam masyarakat.

Antara mereka yang pernah menerima biasiswa termasuklah Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Esa Masood dan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram.

Tahun ini, seorang lagi anak Melayu mencatat sejarah sebagai anak Melayu ketiga yang dianugerahi Biasiswa Presiden - biasiswa paling berprestij di Singapura.

Muhammad Dhafer Muhammad Faishal dipuji PM Lee kerana bukan sekadar cemerlang dalam bidang akademik saja.

"Dhafer bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga berjiwa masyarakat. Pada masa lapangnya, Dhafer melakukan kerja sukarela.

"Kepada Dhafer sekeluarga, termasuk bapanya SPS Faishal Ibrahim, tahniah!" kata PM Lee, sambil merujuk kepada Setiausaha Parlimen Kanan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim.

Dhafer yang juga seorang penerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), akan melanjutkan pengajiannya ke Universiti Stanford - sebuah institusi ulung di Amerika Syarikat yang menduduki ranking ketiga terbaik dalam World University Rankings 2019.

Beliau akan mendalami jurusan sastera kerana percaya ia membuka peluang untuknya memahami perspektif luas dalam meninjau pelbagai isu berkaitan pembangunan negara.

Penerima Biasiswa Presiden lazimnya akan digilap untuk memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam atau pemerintah.

Anak Melayu/Islam pertama yang menerima biasiswa paling berprestij ini ialah Encik Mohamed Ismail Ibrahim pada 1968. Beliau adalah abang kepada mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim. Penerima kedua pula ialah Adil Hakeem Mohamad Rafee pada tahun 2012. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan