Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, Presiden Xi eratkan lagi persahabatan 'istimewa' antara S'pura dengan China

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden China Xi Jinping mengeratkan dan mengesahkan lagi persahabatan "istimewa dan berwawasan" kedua-dua negara semalam (11 Apr) semasa pertemuan mereka. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, Presiden Xi eratkan lagi persahabatan 'istimewa' antara S'pura dengan China

(Gambar: MCI)

Diterbitkan : 11 Apr 2018 12:06PM Dikemas Kini : 11 Apr 2018 12:12PM

QIONGHAI: Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden China Xi Jinping mengeratkan dan mengesahkan lagi persahabatan "istimewa dan berwawasan" kedua-dua negara semalam (11 Apr) semasa pertemuan mereka, di mana mereka juga bersetuju untuk mempertingkatkan Bandar Pengetahuan Guangzhou menjadi projek dua hala peringkat negara.

Projek Bandar Pengetahuan Guangzhou bermula pada Jun 2010 sebagai projek pembangunan yang dipacu sektor privet oleh kedua-dua pemerintah. Ia bertujuan menjadi hab dan pemangkin perubahan ekonomi Guangdong, yang memaparkan penggunaan teknologi mampan yang terkini, untuk menarik tenaga manusia yang berkemahiran dan industri-industri berasaskan pengetahuan.

Encik Xi dan PM Lee bertemu di luar Forum Bo'ao di wilayah Hainan. PM Lee kini berada di China untuk menghadiri sidang ekonomi tahunan untuk pertama kali.

Menurut setiausaha akhbar PM Lee, Chang Li Lin, kedua-dua pemimpin itu mengukuhkan lagi hubungan mereka yang mempunyai "dasar yang kukuh" yang dibangunkan oleh mendiang Perdana Menteri Lee Kuan Yew dengan mantan pemimpin ulung China Deng Xiaoping.

Mereka membicarakan tentang kejayaan projek-projek yang dijalankan bersama, "yang berkembang mengikut keperluan dan tuntutan kedua-dua negara".

Melalui catatan Facebooknya semalam (10 Apr), PM Lee mengatakan forum yang dihadirinya sangat "bermakna dan membuahkan hasil".

"Ramai pemimpin membicarakan tentang tema yang serupa: keterbukaan dan inovasi untuk kekal berdaya saing mengikut peredaran masa," tulis beliau. "Presiden Xi Jinping mengesahkan China komited kepada perdagangan dan kerjasama ekonomi, dan akan mempertingkat usahanya untuk membangunkan ekonomi global yang terbuka dan inklusif.

"(Satu) pertemuan yang baik dengan Presiden Xi selepas Sidang. Kami bertukar-tukar pandangan tentang pembangunan serantau dan antarabangsa. Kami menyemak semula kemajuan projek-projek 'G-to-G', dan membincangkan tentang kerjasama dalam bidang-bidang baru.

Encik Xi turut mengatakan lawatan PM Lee pada September lalu berjaya mengukuhkan lagi "persahabatan yang sudah lama terjalin" antara kedua-dua negara. Kebanyakan inisiatif yang dibincangkan ketika itu sudahpun menunjukkan hasil sejak tujuh bulan lalu, dan memberi manfaat kepada rakyat Singapura dan China, selain meningkatkan kemajuan serantau.

Dua pemimpin itu juga menegaskan tentang pentingnya mempunyai sistem perdagangan berbilang pihak yang berasaskan peraturan dan perlunya sebarang pertikaian dihuraikan melalui rangka kerja Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). 

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan