Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Pemimpin politik harus terus kekal relevan dengan generasi masa kini

Harapan, kepentingan dan aspirasi rakyat Singapura kian berubah dengan pesat, sama seperti rakyat lain di dunia. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee: Pemimpin politik harus terus kekal relevan dengan generasi masa kini

PM Lee berucap di satu acara yang diadakan sebagai tanda penghargaan kepada Dr Yaacob Ibrahim, Encik Lim Swee Say dan Encik Lim Hng Kiang semalam (30 Mei).

Diterbitkan : 31 May 2018 12:08AM Dikemas Kini : 31 May 2018 12:11AM

SINGAPURA: Harapan, kepentingan dan aspirasi rakyat Singapura kian berubah dengan pesat, sama seperti rakyat lain di dunia. Oleh itu, para pemimpin politik perlu terus kekal relevan dengan generasi masa kini, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu acara hari ini (30 Mei). Beliau juga memberi penghargaan kepada tiga menteri yang melepaskan jawatan baru-baru ini.

Para pemimpin perlu memahami dan mengenal pasti generasi masa kini, untuk berkongsi dan membentuk pandangan mereka terhadap dunia dan memberi respons kepada keperluan mereka, serta cuba untuk mencapai aspirasi dan mendapat kepercayaan mereka, kata PM Lee semasa jamuan malam khas bagi Dr Yaacob Ibrahim, Encik Lim Swee Say dan Encik Lim Hng Kiang.

"Hanya dengan cara ini, para pemimpin boleh bekerjasama dengan rakyat untuk menetapkan hala tuju negara dan mewujudkan peluang-peluang baru bagi masa depan," katanya lagi.

Tiga mantan menteri Kabinet melepaskan jawatan masing-masing sebagai menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Tenaga Manusia serta Perdagangan dan Perusahaan, pada bulan ini. Pelepasan jawatan mereka merupakan sebahagian daripada penyusunan semula kepimpinan Singapura. Dengan penyusunan semula itu, lebih 60 peratus jawatan kabinet disandang menteri-menteri lebih muda.

Encik Lee menambah bahawa penyusunan semula itu merupakan kunci keutamaan Parti Tindakan Rakyat (PAP). Penyusunan tersebut, kata beliau, perlu dilakukan sedang pasukannya "masih sangat cergas" dan menteri-menteri generasi ketiga, termasuk dirinya sendiri, kini sudah berusia 60-an tahun.

"Kami tidak boleh menunggu sehingga generasi kami hilang keghairahannya sebelum melepaskan jawatan kepada generasi selanjutnya," jelas beliau.

"PERUBAHAN SESUATU YANG SUKAR"

Secara peribadi, Encik Lee berkata perubahan-perubahan ini sukar baginya kerana "ia bukanlah seperti permainan catur" tetapi melibatkan rakan-rakan sekerjanya, sahabat dan rakan akrabnya. Dari segi pengalaman sebagai menteri pula, mereka kehilangan "70 tahun pengalaman teruji" (dek persaraan tersebut), tambah beliau.

Perubahan terkini "khususnya lebih mencabar" kerana tiga mantan menteri datang dari generasi yang sama, dan beliau sudah mengenali mereka selama berpuluh-puluh tahun.

Beliau juga menarik perhatian bahawa Dr Yaacob, Encik Lim Swee Say dan Encik Lim Hng Kiang "masih ada banyak lagi yang boleh disumbangkan" tetapi mereka "bersetuju untuk bersara" supaya menteri-menteri lebih muda boleh mengambil alih tugas mereka dan kemajuan boleh dicapai dalam proses pembaharuan.

"Tugas kami tidak hanya menjaga negara semasa menyandang jawatan kami dalam pejabat; tetapi kami juga perlu memastikan Singapura dan masa depannya terjamin dan berada dalam jagaan yang baik selepas kami bersara nanti," kata PM Lee.

"Kejayaan mereka akan menjadi kejayaan kami. Itulah cara kepimpinan (kami)."

UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA 3 MANTAN MENTERI

Encik Lee juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada tiga mantan menteri semasa jamuan malam itu.

Merujuk kepada Dr Yaacob, PM Lee menarik perhatian bahawa beliau memegang beberapa portfolio menteri dan "membawa perubahan besar" kepada kehidupan rakyat Singapura.

Malah, Dr Yaacob menyertai Kabinet pada masa yang genting, menyusuli serangan pengganas pada 11 September 2001 di bandar New York. Sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, "kepimpinannya sangat penting" bagi masyarakat Melayu/Islam pada saat-saat penuh dengan ketidakpastian dan kebimbangan.

PM Lee turut berkongsi bahawa kumpulan pertama yang Dr Yaacob dekati semasa jamuan perpisahan di MCI untuk mengucapkan terima kasih merupakan para kakitangan pembersihan. "Ini jelas menunjukkan sifat Yaacob sebagai seorang pemimpin dan individu," kata PM Lee.

Bagi Encik Lim Swee Say pula, PM Lee berkata bahawa beliau mengenalinya sejak mereka berada dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF). Beliau mengajaknya untuk memasuki bidang politik kerana beliau mempunyai ciri-ciri yang sesuai: "Praktikal, menyakinkan dan berkesan" serta "sedikit lain daripada biasa dan tegas".

Dalam ucapan penghargaannya untuk Encik Lim Hng Kiang pula, PM Lee berkata bahawa Encik Lim adalah kenalannya yang paling lama - sejak zaman mereka berada di universiti Cambridge 45 tahun lalu.

Semasa dalam dunia politik, Encik Lim memainkan peranan penting dalam krisis-krisis besar seperti penularan wabak SARS pada 2003 sebagai Menteri Kesihatan, dan semasa krisis kewangan 2008 sebagai "orang kanan yang boleh dipercayai" dalam mengawasi ekonomi Singapura selama 14 tahun di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan