Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee, para pemimpin ucap Selamat Hari Raya Haji kepada masyarakat Islam

Sempena 10 Zulhijjah hari ini, para pemimpin Singapura mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak terkecuali.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee, para pemimpin ucap Selamat Hari Raya Haji kepada masyarakat Islam

Gambar fail para jemaah haji berkumpul di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Sempena 10 Zulhijjah hari ini, para pemimpin Singapura mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam. Presiden Halimah Yacob dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong tidak terkecuali.

Pagi tadi, Puan Halimah menyertai lebih 4,500 jemaah di Masjid Al-Mawaddah untuk menunaikan solat Aidiladha di mana Mufti Negara Fatris Bakaram menyampaikan khutbah bertajuk 'Ciri Pengorbanan Golongan Beriman'.

Puan Halimah turut mengagih-agihkan hamper kepada 20 penerima Project GOLD yang dilancarkan pihak masjid berkenaan dengan Jawatankuasa Perundingan Rakyat Sengkang South.

Menerusi catatan Facebooknya, Puan Halimah mengingatkan orang ramai bahawa Hari Raya Aidiladha adalah kesempatan untuk umat Islam melahirkan kesyukuran atas segala nikmat dan menyebarkan sifat rahmah sesama insan.

"Hari ini menandakan hari terakhir para jemaah menyempurnakan ibadah haji di Makkah, Arab Saudi. Selamat Hari Raya Haji kepada semua umat Islam! Semoga anda melalui hari ini dengan penuh bermakna di samping orang-orang yang dikasihi," tulis Puan Halimah.

Puan Halimah turut berkongsi beberapa gambar yang dipetik semasa beliau beramah mesra dengan para jemaah di Masjid Al-Mawaddah.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Haji.

PM Lee menarik perhatian bahawa pelbagai kegiatan dianjurkan, khusunya bagi membantu mereka yang memerlukan. Semua itu di samping daging korban yang diagihkan.

"Kakitangan dan sukarelawan masjid sibuk melaksanakan ibadah korban. Daging korban akan diagihkan kepada golongan fakir miskin dan juga untuk mengumpul dana bagi badan-badan kebajikan serta program pendidikan mereka," tulis PM Lee menerusi catatan Facebooknya yang dimuat naik pagi tadi (22 Ogos).

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli antara pemimpin pertama yang mengucapkan Selamat Hari Raya Haji. Tidak lama selepas takbir raya berkumandang semalam (21 Ogos), beliau menyampaikan ucapannya menerusi catatan Facebook.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana para jemaah Singapura bersemangat kental untuk menunaikan ibadah haji meskipun ribut pasir melanda Arafah.

"Saya gembira jemaah Haji kita selamat berwukuf di Arafah dan kini berada di Mina untuk ibadah melontar jamrah. Walaupun berhadapan dengan ribut pasir dan cuaca buruk di Arafah, para jemaah tetap bersemangat dan sentiasa menjaga keselamatan diri masing-masing. Alhamdulillah," kata Encik Masagos.

Semestinya, tambah beliau, Hari Raya Haji satu sambutan bermakna yang mengajar umat Islam tentang nilai-nilai pengorbanan dan rendah diri bagi membantu orang lain "dalam pengabdian kita untuk meraih keredhaanNya".

"Ini adalah nilai-nilai murni yang akan membantu masyarakat Muslim maju secara harmoni bersama-sama masyarakat lain di Singapura dan dunia," ujar Encik Masagos.

Menteri Negara Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia Zaqy Mohamad dan Setiausaha Parlimen Kesihatan Amrin Amin turut menyampaikan ucapan serupa.

Encik Amrin Amin juga berkesempatan bertemu dengan para sukarelawan di Masjid Assyafaah selepas menunaikan solat Aidiladha pagi tadi (22 Ogos). Pengalamannya itu seolah-olah mengajarnya erti lain dalam pengorbanan.

"Saya berada di Masjid Assyafaah pagi tadi untuk solat Aidiladha dan bertemu enam penduduk Pusat Pemulihan Masyarakat (CRC) yang membantu dalam ibadah korban di masjid," cerita Encik Amrin.

CRC membantu para pesalah dadah pertama kali yang masih muda untuk melawan rasa ketagihan di samping membimbing mereka.

"Saya gembira melihat semangat untuk menyumbang itu begitu kuat. Kami semua masing-masing mempunyai cara untuk menabur bakti kepada masyarakat," tambah beliau menerusi catatan Facebooknya.

"Pengorbanan juga adalah tentang meluangkan masa untuk berbakti, berkorban harta untuk membantu mereka yang memerlukan, menolak prasangka untuk beri peluang kedua serta melawan nafsu dan ketagihan untuk menjadi insan lebih baik."   

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan