Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee: Pakej Generasi Merdeka akan tawar banyak manfaat

Rakyat Singapura yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an boleh menjangkakan satu Pakej Generasi Merdeka yang besar.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Feb 2019 01:58PM Dikemas Kini : 02 Feb 2019 11:08PM

SINGAPURA: Rakyat Singapura yang dilahirkan dalam tahun-tahun 1950-an boleh menjangkakan satu Pakej Generasi Merdeka yang besar.

Pakej Generasi Merdeka itu akan menawarkan banyak manfaat bagi menghargai sumbangan mereka kepada kejayaan Singapura.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata demikian hari ini (2 Feb) dalam satu acara sanjungan, yang dihadiri 200 tetamu daripada Generasi Merdeka dan pasangan mereka di Taman di Pesisiran.

PM Lee berkata, pakej itu akan mengurangkan kebimbangan rakyat, terutama sekali dari segi kos jagaan kesihatan.

Pakej tersebut pertama kali diumumkan semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu. Butiran lanjut tentang pakej itu akan diumumkan oleh Menteri Kewangan Heng Swee Keat dan Menteri Kesihatan Gan Kim Yong di Parlimen pada lewat bulan ini.

Di acara tersebut, PM Lee turut menyanjung tinggi Generasi Merdeka - iaitu rakyat yang dilahirkan pada tahun 1950-an dan membantu Singapura mengharungi masa-masa sukar seperti Krisis Kewangan Asia, Krisis Kewangan Global dan penularan wabak SARS.

PM Lee yang turut berucap dalam Bahasa Melayu menekankan:

"Generasi Merdeka telah menyumbang kepada kejayaan Singapura melonjak maju dari taraf Dunia Ketiga kepada Dunia Pertama dalam satu generasi sahaja. Anda sama-sama melalui pahit getir perjuangan ini dan memainkan peranan anda sebaik sahaja Singapura menjadi sebuah negara merdeka.

"Anda telah saksikan sendiri pengorbanan ibu bapa anda dalam membesarkan anda sekeluarga, khususnya ketika Singapura sedang memperjuangkan kemerdekaan kita."

Bagaimanapun, PM Lee mengingatkan bahawa Singapura terus berdepan dengan berbagai-bagai cabaran baru.

Ini termasuk mengekalkan daya saing ekonomi, bersiap sedia bagi menghadapi penduduk yang semakin menua serta memastikan mobiliti sosial.

Menurut PM Lee, Generasi Merdeka sudah berulang kali menunjukkan bahawa Singapura "boleh dan mampu" mengatasi apa jua cabaran yang mendatang, jika rakyatnya bersatu padu.

"Pakej Generasi Merdeka ini adalah tanda penghargaan ikhlas dari kami atas segala sumbangan anda. Sedang anda melangkah masuk ke usia senja, kami harap pakej ini dapat mengurangkan kebimbangan anda, terutama sekali tentang kos jagaan kesihatan anda," ujar PM Lee.

PM Lee juga berkata Pakej Generasi Merdeka akan meliputi juga rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1949 atau lebih awal - yang terlepas Pakej Generasi Perintis, tetapi memperolehi status warganegara menjelang 31 Disember tahun 1996.

"Seperti yang dibuktikan Generasi Merdeka, Singapura boleh dan mampu mengatasi sebarang cabaran pada masa hadapan, selagi kita bersatu. Jika Generasi Merdeka boleh berkongsi pengalaman hidup mereka dan nilai-nilai yang dipegang teguh kepada generasi akan datang, ia satu lagi sumbangan besar kepada Singapura," tambah beliau. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan