Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee lakukan lawatan rasmi ke New York, Armenia pada 21 Sep-2 Okt

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai sebahagian daripada lawatannya selama seminggu ke New York bermula esok (21 Sep). Setelah lawatan ke New York, PM Lee akan melakukan lawatan rasmi empat hari ke Armenia hingga 1 Oktober.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Sep 2019 06:03PM Dikemas Kini : 20 Sep 2019 09:06PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump sebagai sebahagian daripada lawatannya selama seminggu ke New York bermula esok (21 Sep).

Pertemuan itu yang keempat antara kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebelum ini, PM Lee dan Encik Trump bertemu semasa sidang puncak Trump-Kim tahun lalu, serta di sidang puncak G20 di Hamburg dan semasa lawatan rasmi Encik Lee ke Washington pada 2017.

Semasa di New York nanti, PM Lee akan menerima anugerah Negarawan Dunia 2019 yang diberikan oleh kumpulan silang agama yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Appeal of Conscience Foundation.

Encik Lee diiktiraf atas usahanya memupuk sebuah masyarakat yang merangkumi pelbagai budaya, di mana setiap kaum mengekalkan cara hidup mereka yang unik, pada masa yang sama, hidup dalam harmoni.

Anugerah Negarawan Dunia itu memberi penghormatan kepada para pemimpin dunia yang menyokong keamanan dan kebebasan dengan menggalak toleransi, martabat dan hak asasi manusia.

PM Lee akan juga menyampaikan Kenyataan negara Singapura di Perbahasan Umum Sesi ke-74 Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA).

Beliau akan juga menghadiri beberapa mesyuarat PBB termasuk Sidang Puncak Bertindak Iklim Setiausaha Agung <<Secretary-General's Climate Action Summit>> badan dunia itu.

Di sidang tersebut, para pemimpin akan mengongsi pelan bertindak dan contoh-contoh bagaimana mereka berusaha mengurangkan pengeluaran karbon dan meningkatkan daya tahan kepada kesan perubahan iklim.

Selain itu PM Lee juga akan mengadakan jamuan bagi para anggota Forum Negara-Negara Kecil, sebuah perkumpulan tidak rasmi yang dilancarkan Singapura pada 1992, yang terdiri daripada lebih 100 negara kecil.

PM Lee akan ditemani oleh isterinya Cik Ho Ching, Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan serta para pegawai dari Pejabat Perdana Menteri (PMO), Kementerian Perhubungan dan Penerangan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Ehwal Luar.

Setelah lawatan ke New York, PM Lee akan melakukan lawatan rasmi empat hari ke Armenia dari 28 September hingga 1 Oktober.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat akan menjadi Pemangku Perdana Menteri dari 21 hingga 30 September, manakala Menteri Penyelaras Prasarana dan Pengangkutan Khaw Boon Wan akan menjadi Pemangku Perdana Menteri pada 1 dan 2 Oktober.

Sumber : CNA/AA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan