Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee gesa ambil langkah kurang menyeluruh tapi tepat pada masa bagi perdagangan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa negara-negara anggota APEC bekerjasama untuk merangsang lebih banyak perdagangan dan mengurangkan sekatan.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee gesa ambil langkah kurang menyeluruh tapi tepat pada masa bagi perdagangan

PM Lee Hsien Loong (kiri) bersama Presiden Vietnam Tran Dai Quang. (Gambar: AFP/Pool/Jorge Silva)

Diterbitkan : 11 Nov 2017 09:42PM Dikemas Kini : 11 Nov 2017 10:17PM

DANANG, Vietnam: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menggesa negara-negara anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bekerjasama untuk merangsang lebih banyak perdagangan dan mengurangkan sekatan.

Ini menyusuli persetujuan untuk meneruskan Kerjasama Rentas Pasifik (TPP).

PM Lee berkata demikian dalam pertemuan beliau dengan para pemimpin APEC di Danang, Vietnam.

Hari ini (11 Nov), 11 negara anggota APEC, termasuk Singapura, yang terlibat dengan TPP bersetuju untuk meneruskan dengan perjanjian tersebut. Ia dilakukan dengan menggantung 20 peruntukan daripada perjanjian asal.

Perjanjian itu kini dinamakan Perjanjian Menyeluruh dan Progresif bagi Kerjasama Rentas Pasifik (CPTPP).

PM Lee berkata, meskipun negara-negara anggota CPTPP belum "menandatangani dokumen undang-undang yang muktamad", teras perjanjian itu sudah ditetapkan dan beliau gembira perjanjian itu "sudah sampai ke tahap ini".

PM Lee menambah: "Bukan mudah untuk menetapkan TPP, yang asalnya direka untuk 12 negara, keluarkan sebuah negara dan kemudian mendapatkan persetujuan daripada baki 11 negara, hampir sama dengan yang asal."

Amerika Syarikat, yang pada mulanya memimpin perjanjian itu, menarik diri daripadanya sejurus selepas Presiden Donald Trump menyandang jawatan pada bulan Januari.

Encik Trump menandatangani arahan eksekutif untuk membatalkan perjanjian itu pada hari pertama rasmi beliau bertugas, sambil berkata langkah itu adalah untuk melindungi pekerjaan rakyat Amerika.

Perjanjian itu diterajui oleh presiden sebelumnya, Encik Barack Obama, yang menyifatkannya sebagai bahagian penting Amerika di Asia, dalam usaha untuk menangani pengaruh China yang semakin kuat di rantau ini.

Semasa berucap di retreat Mesyuarat Para Pemimpin Ekonomi APEC, PM Lee berkata meskipun terdapat "rasa sangsi" sama ada negara-negara anggota boleh meraih manfaat daripada penyepaduan ekonomi itu, beliau "amat" yakin ia boleh berlaku dan untuk bekerjasama mencapai sepenuhnya perdagangan terbuka di rantau ini, negara-negara anggotanya perlu meneroka "langkah-langkah yang kurang menyeluruh tetapi tepat pada masanya".

PM Lee menambah: "Dalam dunia hari ini, tiada satu pun pasaran yang boleh berdiri sendiri."

Beliau berkata ekonomi-ekonomi memerlukan sokongan pasaran global yang lebih luas untuk semuanya "dari rantaian bekalan hingga kajian dan pembangunan".

Singapura, katanya, "menyokong sistem perdagangan berbilang pihak yang berdasarkan undang-undang" dan walaupun masih banyak yang perlu dilakukan sebelum perdagangan di rantau ini terbuka sepenuhnya, amat "penting" bagi negara-negara anggota "bekerjasama untuk mempermudah perdagangan dan aliran data".

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan