Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee fail permohonan untuk batalkan tuntutan balas penulis blog

Para peguam Perdana Menteri Lee Hsien Loong membuat permohanan untuk membatalkan tuntutan balas oleh penulis blog, Leong Sze Hian terhadap saman fitnah yang difailkan ke atasnya oleh PM Lee. 

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee fail permohonan untuk batalkan tuntutan balas penulis blog

Leong Sze Hian (kiri) dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar-Gambar: Leong Sze Hian, Tang See Kit/Facebook)

Diterbitkan : 10 Jan 2019 10:39PM Dikemas Kini : 10 Jan 2019 10:44PM

SINGAPURA: Para peguam Perdana Menteri Lee Hsien Loong membuat permohanan untuk membatalkan tuntutan balas oleh penulis blog, Leong Sze Hian, terhadap saman fitnah yang difailkan ke atasnya oleh PM Lee. 

Permohonan berkenaan dibuat "berdasarkan (tuntutan saman) yang tidak berasas dari segi undang-undang dan kes ini tiada harapan langsung," kata setiausaha akhbar PM Lee dalam satu kenyataan media hari ini (10 Jan).

Peguam Encik Leong, Lim Tean, berkata anak guamnya sudah menerima permohonan itu.

Encik Leong disaman oleh PM Lee kerana mengongsi apa yang disifatkan oleh para peguamnya sebagai satu rencana yang "amat berunsur fitnah". Rencana tersebut yang diterbitkan oleh laman Malaysia, The Coverage, mendakwa bahawa PM Lee membantu mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Rencana itu juga mendakwa bahawa PM Lee "bersubahat dalam kegiatan jenayah" berhubung syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibelenggu skandal.

Selain itu, rencana berkenaan juga mendakwa PM Lee "menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk membantu Encik Najib dalam kegiatan pengubahan wang haram melibatkan berbilion-bilion dolar wang 1MDB," menurut para peguam PM Lee, yang diketuai Peguam Kanan Davinder Singh.

Perkataan-perkataan yang menimbulkan masalah dalam rencana itu membawa makna "PM Lee secara tidak amanah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri untuk membantu Encik Najib Razak mengubah berbilion-bilion dolar wang 1MDB secara haram," kata para peguam tersebut.

Dakwaan-dakwaan tersebut "palsu dan tidak berasas dan bertujuan memperkecilkan dan mempersoalkan jawatan plaintif sebagai perdana menteri," menurut para peguam dalam pernyataan tuntutan tersebut.

Pada bulan lalu, Encik Leong mendapatkan khidmat ahli politik pembangkang Encik Lim sebagai peguam belanya. Pihak pembela kemudian memfailkan pembelaan dan tuntutan balas terhadap PM Lee pada 26 Disember.

Encik Lim menekankan bahawa PM Lee belum mengambil tindakan terhadap para penerbit rencana itu - The Coverage dan States Times Review - serta Facebook atau orang lain yang mengongsi rencana itu di Facebook.

Tuntutan balas itu mendakwa bahawa saman yang difailkan terhadap Encik Leong adalah "penyalahgunaan proses mahkamah" dan "tidak perlu untuk mewajarkan reputasi Perdana Menteri itu," kata Encik Lim sebelum ini menerusi satu kenyataan oleh firmanya, Carson Law Chambers.

Dalam respons kepada permohonan terbaru oleh pasukan guaman PM Lee, Encik Lim, menerusi satu kenyataan hari ini (10 Jan), berkata bahawa Encik Leong juga akan memfailkan permohonan untuk membatalkan tuntutan PM Lee.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Encik Lim mengesahkan bahawa ia adalah permohonan baru dan "berbeza sama sekali" daripada tuntutan balas yang difailkan pada Disember.

"Kami akan memfailkannya tidak lama lagi," kata Encik Lim.

Laman States Times Review yang pertama menerbitkan rencana berkenaan sudahpun disekat di Singapura selepas pengasasnya Alex Tan, yang menetap di Australia, enggan menurunkan rencana tersebut. 

Satu aduan polis juga difailkan pada November lalu terhadap penulis rencana itu. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan