Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee bincang kerjasama 3 hala Australia, AS & UK bersama PM Scott Morrison

Perdana Menteri Lee Hsien Loong berbincang dengan Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengenai kerjasama tiga hala yang dimeterai Australia dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (16 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Sep 2021 05:10PM Dikemas Kini : 16 Sep 2021 09:43PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berbincang dengan Perdana Menteri Australia Scott Morrison mengenai kerjasama tiga hala yang dimeterai Australia dengan Amerika Syarikat dan United Kingdom (UK), menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Khamis (16 Sep).

Kerjasama tiga hala yang diberi nama AUKUS diumumkan dalam sidang video antara Encik Morrison, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri UK Boris Johnson pada awal pagi Khamis, waktu Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pemimpin itu berkata AUKUS adalah sebahagian daripada usaha untuk "mengukuhkan lagi kerjasama diplomatik, keselamatan dan pertahanan di rantau Indo-Pasifik".

PM Lee menerima panggilan telefon Encik Morrison pada Khamis, menurut MFA, sambil menambah bahawa Encik Morrison "memberikan taklimat" kepada PM Lee mengenai kerjasama baru itu.

PM Lee turut menarik perhatian kepada "hubungan dua hala dan berbilang hala yang sejak sekian lama terjalin antara Singapura dengan Australia, UK dan Amerika Syarikat" dan berharap agar AUKUS akan "menyumbang secara membina kepada keamanan dan kestabilan rantau ini dan saling melengkapi prasarana serantau", menurut MFA.

Di samping itu, kedua-dua pemimpin juga membincangkan bagaimana Australia dan Singapura akan terus melawan pandemik COVID-19.

Encik Morrison mengucapkan terima kasih kepada PM Lee atas aturan perkongsian dos vaksin COVID-19 antara Singapura dengan Australia, yang dimuktamadkan pada bulan lalu, menurut MFA.

Di bawah perjanjian tersebut, Singapura menghantar 500,000 dos vaksin Pfizer-BioNTech ke Australia, dengan jumlah yang sama akan dihantar ke Singapura pada Disember.

Kerjasama AUKUS akan menyokong Australia dalam usaha memperolehi kapal selam berkuasa nuklear untuk angkatan tentera laut negara itu, di samping memanfaatkan kepakaran Amerika Syarikat dan UK.

Australia adalah negara kedua selepas UK yang diberikan akses kepada teknologi nuklear Amerika Syarikat untuk membina kapal selam berkuasa nuklear. Australia akan membina lapan kapal selam sedemikian di bawah kerjasama tersebut.

AUKUS juga akan menyaksikan ketiga-tiga negara saling bekerjasama dalam bidang "keupayaan siber, kecerdasan buatan, teknologi kuantum, dan keupayaan dasar laut", menurut kenyataan bersama itu.

Sumber : CNA/Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan