Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee beri sanjungan dan penghargaan kepada Lim Hng Kiang, Lim Swee Say dan Yaacob Ibrahim

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerbitkan surat-surat sanjungan kepada tiga menteri kabinet yang akan bersara.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 27 Apr 2018 06:33PM Dikemas Kini : 27 Apr 2018 10:18PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong menerbitkan surat-surat sanjungan kepada tiga menteri kabinet yang akan bersara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana memberi sumbangan politik selama puluhan tahun.

Di dalam surat-suratnya itu PM Lee menyebut detik-detik penting dalam kerjaya setiap menteri berkenaan dan mengandungi penghargaan beliau kepada khidmat mereka.

Surat-surat PM Lee itu ditujukan kepada Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Lim Hng Kiang, Menteri Tenaga Manusia, Lim Swee Say serta Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

LIM HNG KIANG TERAJUI PERDAGANGAN, PERUSAHAAN

Encik Lim Hng Kiang memimpin Kementerian Perdagangan dan Perusahaan selama 14 tahun dan membangunkan kelompok-kelompok penting dalam sektor pengilangan serta agensi-agensi pemerintah, SPRING, IE Singapore dan JTC.

Selain itu beliau juga membentuk Suruhanjaya Persaingan Singapura pada 2005 bagi memastikan pasaran-pasaran berfungsi dengan baik.

Baru-baru ini pula Encik Lim terlibat dalam rundingan Perkongsian Menyeluruh dan Progresif Rentas Pasifik (CP TPP).

PM Lee turut memuji khidmat Encik Lim semasa menjadi Menteri Kesihatan dalam menangani wabak SARS pada 2003 serta sebagai Menteri Pembangunan Negara yang menyediakan rumah kepada rakyat berpendapatan rendah.

LIM SWEE SAY LUAR BIASA SAMPAIKAN MESEJ DENGAN MUDAH TAPI BERKESAN

Encik Lim Swee Say pula menyertai pergerakan buruh pada 1996 dan menjadi Timbalan Setiausaha Agungnya sepenuh masa dari tahun 2005.

Beliau kemudian menjadi Setiausaha Agung NTUC selama tujuh tahun mulai 2008.

Pada 2015, Encik Lim dilantik sebagai Menteri Tenaga Manusia dan beliau memberi tumpuan kepada kebajikan para pekerja.

Ini termasuk mengadakan program-program untuk melatih dan membantu meeka mendapatkan pekerjaan baru.

Encik Lim juga melindungi para pekerja daripada perbuatan diskriminasi.

Bagi membantu para pekerja dapat menjalani kehidupan selepas bersara dengan baik, Encik Lim telah menaikkan umur pengambilan semula pekerja, caruman CPF bai pekerja lanjut usia dan mengadakan lebih banyak pilihan untuk mereka menabung.

Dalam suratnya, PM Lee juga berkata adalah tidak lengkap jika tidak menyebut kebiasaan Encik Lim menyampaikan sesuatu mesej dengan mudah dan berkesan.

Ini termasuk beberapa rangkai kata seperti "cheaper, better, faster".

DR YAACOB LETAKKAN ASAS BAGI PENGGANTI DALAM MEMBANGUNKAN AMALAN AJARAN ISLAM S'PURA

Dr Yaacob Ibrahim memulakan kerjaya politiknya pada 1997 apabila beliau menang apabila menang dalam pilihan raya bagi GRC Jalan Besar.

Pada 2002 beliau dilantik sebagai Pemangku Menteri Pembangunan Masyarakat dan Sukan.

Semasa menyandang jawatan itu Dr Yaacob telah melaksanakan program-program untuk membantu keluarga, individu dan warga tua.

Dua tahun kemudian, Dr Yaacob menjadi Menteri Sekitaran dan Sumber Air.

PM Lee memujui beliau kerana usahanya dalam mempelbagaikan bekalan air negara seperti membina loji penyulingan air yang pertama.

Beliau dilantik sebagai Menteri Perhubungan dan Penerangan sejak tahun 2011 pada masa yang disebut PM Lee sebagai berlakunya perubahan yang "mengganggu tetapi menarik" dalam industri telekomunikasi dan media.

Beliau giat berusaha bagi mendapatkan pelaburan untuk prasarana dan memastikan tiada orang ketinggalan dalam era digital.

Dr Yaacob juga, kata PM Lee, melaksanakan Akta Perlindungan Data Peribadi.

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab dalam bidang keselamatan Siber dan menubuhkan Agensi Keselamatan Siber bagi melindungi prasarana maklumat yang kritikal.

Selain itu, beliau turut mempunyai portfolio tambahan sebagai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

PM Lee berkata Dr Yaacob bukan sahaja menjaga keperluan keagamaan masyarakat Muslim Singapura tetapi juga memimpin masyarakat itu memandang ke hadapan, berintegrasi dengan masyarakat bukan Islam negara ini dan membuat penyesuaian serta berubah mengikut masa.

Dr Yaacob juga meletakkan struktur-struktur sokongan seperti Skim Pengiktirafan Asatizah.

Ini, kata PM Lee meletakkan asas bagi pengganti Dr Yaacob untuk membangunkan amalan ajaran Islam dalam konteks Singapura.

PM Lee menambah beliau boleh bergantung kepada Dr Yaacob untuk memberikan pandangan dan sentimen masyarakat Melayu/Islam secara terus terang.

Dalam masa-masa sukar, Dr Yaacob dapat menggembleng para AP dan masyarakat Melayu/Islam untuk menghadapi tekanan politik, berhujah dengan keyakinan dan teguh dengan pendiriannya.

Menurut PM Lee dengan berbuat demikian Dr Yaacob telah memberi sumbangan besar kepada, bukan sahaja masyarakat Melayu/Islam teetapi juga kepada keharmonian kaum dan agama di Singapura.

Sumber : CNA/MU/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan