Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee bakal hadiri sambutan Jubli Emas Sultan Brunei

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan mengadakan lawatan ke Bandar Seri Begawan, Brunei dari hari ini (5 Okt) sehingga Sabtu (7 Okt) bagi menghadiri sambutan Jubilee Emas Sultan Brunei Hassanal Bolkiah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Oct 2017 08:39AM Dikemas Kini : 05 Oct 2017 10:46PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan mengadakan lawatan ke Bandar Seri Begawan, Brunei dari hari ini (5 Okt) sehingga Sabtu (7 Okt) bagi menghadiri sambutan Jubilee Emas Sultan Brunei Hassanal Bolkiah.

Acara itu bagi meraikan ulang tahun ke-50 Sultan Hassanal Bolkiah bertakhta di negara tersebut.

Menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan media, PM Lee akan mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei dan menghadiri jamuan diraja pada hari Jumaat (6 Okt).

"Kehadiran Perdana Menteri Lee di Sambutan Jubilee Emas (ini) mencerminkan hubungan muhibah yang sangat baik dan sudah lama terjalin antara Singapura dengan Brunei," menurut kenyataan PMO.

Sebelum ini, PM Lee pernah menghadiri sambutan Jubilee Perak Sultan Brunei - yang menandakan tahun ke-25 beliau bertakhta - pada bulan Oktober 1992 sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Perusahaan (MTI).

Semasa di Brunei, PM Lee juga akan bertemu dengan masyarakat Singapura di Bandar Seri Begawan serta mengunjungi para askar Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) yang berlatih di Brunei, dedah PMO.

PM Lee akan diiringi isteri beliau dan para pegawai dari PMO serta Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Semasa PM Lee berada di Brunei, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Ekonomi dan Dasar Sosial, Tharman Shanmugaratnam akan memangku jawatan Perdana Menteri.

PRESIDEN HALIMAH, PM LEE UTUS UCAPAN TAHNIAH KEPADA SULTAN

PMO menyatakan Presiden Halimah Yacob dan PM Lee juga sudah mengutuskan surat bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Hassanal Bolkiah sempena Jubilee Emasnya.

Puan Halimah mengatakan Brunei sudah mengecapi "pertumbuhan dan kejayaan yang luar biasa" di bawah kepimpinan Sultan dan menyatakan bahawa Singapura dan Brunei saling berkongsi "persahabatan unik dan istimewa yang dibina atas hubungan peribadi yang erat, kepercayaan bersama dan persefahaman mengenai cabaran-cabaran dan keprihatinan negara-negara kecil."

PM Lee juga menyatakan rakyat Brunei hidup dalam keadaan "aman, sejahtera dan selamat" di bawah pemerintahan Sultan dan menekankan hubungan "pelbagai aspek" antara kedua-dua negara.

Surat-surat mereka dilampirkan di bawah.

Tuanku,

Bagi pihak rakyat Singapura, saya ingin menyampaikan ucapan tahniah dengan setulus ikhlas kepada Tuanku sempena majlis bersejarah dan meriah ini bagi menyambut Jubilee Emas Tuanku.

Brunei sudah meraih pertumbuhan dan kejayaan yang luar biasa di bawah pemerintahan berwawasan Tuanku sepanjang lima dekad yang lalu. Tuanku memimpin Brunei mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 dan di tengah-tengah cabaran dan ketidakpastian dalam persekitaran serantau dan global, membangunkan negara yang damai dan makmur hari ini. Pemerintahan bijaksana Tuanku membolehkan generasi demi generasi rakyat Brunei hidup dalam keadaan aman dan harmoni dan dapat terus memburu aspirasi serta mencapai potensi sebenar mereka. Ini adalah warisan yang tidak lapuk dek zaman.

Singapura dan Brunei berkongsi persahabatan yang unik dan istimewa yang dibina atas hubungan peribadi yang erat, kepercayaan dan persefahaman mengenai cabaran-cabaran dan keprihatinan negara-negara kecil. Kedua-dua negara kita menikmati kerjasama yang cemerlang dalam bidang yang luas termasuk kewangan dan perdagangan dan pertahanan dan keselamatan. Singapura berbesar hati kerana dapat menjadi tuan rumah semasa empat Lawatan Negara Tuanku sejak Tuanku bertakhta pada tahun 1967. Semasa Lawatan Negara Tuanku pada bulan Julai tahun ini, Singapura dan Brunei menyambut ulang tahun ke-50 Perjanjian Pertukaran Mata Wang. Kedua-dua negara kita juga meraikan 40 tahun kerjasama pertahanan pada tahun 2016. Semua ini membuktikan kerjasama yang sudah lama dibina dan tahap kepercayaan yang tinggi antara kedua-dua negara. Dengan sokongan berterusan Tuanku, saya yakin Singapura dan Brunei akan terus mempertingkat asas yang kukuh dan persahabatan istimewa antara kedua-dua negara pada tahun-tahun mendatang.

Saya mendoakan agar Tuanku dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha terus mengecap kejayaan, kesihatan dan kebahagiaan.

Yang ikhlas,
HALIMAH YACOB

Surat ucapan PM Lee:

Tuanku,

Bagi pihak Pemerintah Republik Singapura, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah sempena sambutan Jubilee Emas Tuanku.

Brunei sudah maju dan berkembang dengan pesat sepanjang tempoh 50 tahun. Rakyat Brunei hidup dalam keadaan aman, makmur dan selamat di bawah pemerintahan Tuanku. Singapura dan Brunei menikmati persahabatan istimewa yang sudah lama terjalin, yang berdasarkan persahabatan erat di kalangan para pemimpin kita dan diperkukuhkan lagi melalui kepentingan strategik yang dikongsi bersama dalam banyak isu serantau dan antarabangsa.

Hubungan dua hala kita adalah dari pelbagai sudut, dengan banyak kerjasama pertahanan, di mana Tuanku memberikan sokongan padu kepada angkatan bersenjata kami yang berlatih di Temburong; dari segi ekonomi, syarikat-syarikat Singapura menyokong usaha Brunei memperluaskan ekonominya; dan dari aspek Pemerintah, kita sering mengadakan pertukaran dalam sektor awam. Sebagai negara-negara kecil yang mengongsi wawasan yang sama, kita turut bekerjasama dengan ASEAN untuk memupuk perpaduan dan kepentingan perkumpulan serantau ini.

Ho Ching dan saya masih ingat semasa kami mengadakan lawatan ke Brunei pada tahun 1992 bagi menghadiri sambutan Jubilee Perak Tuanku. Ia merupakan acara yang gah dan tidak dapat dilupakan. Dua puluh lima tahun kemudian, kami amat berbesar hati diundang untuk menyaksikan satu lagi detik bersejarah dalam pemerintahan Tuanku dan Brunei. Kami menantikan pertemuan dengan Tuanku di Bandar Seri Begawan dan mendoakan agar Tuanku dan isteri Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha terus maju dan sihat.

Yang ikhlas,
LEE HSIEN LOONG 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan