Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee akan beri keterangan di mahkamah jika saman fitnah terhadap editor TOC dibicarakan

Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan memberi keterangan di mahkamah jika tindakan saman fitnah terhadap editor The Online Citizen (TOC) Terry Xu dibicarakan, kerana dakwaan yang dibuat adalah "palsu sama sekali", menurut setiausaha akhbar Encik Lee dalam satu kenyataan pada Selasa (10 Sep) malam.

Anggaran Waktu Membaca:
PM Lee akan beri keterangan di mahkamah jika saman fitnah terhadap editor TOC dibicarakan

PM Lee Hsien Loong (kiri) dan editor TOC, Terry Xu (Gambar: TODAY, Jeremy Long)

Diterbitkan : 11 Sep 2019 12:19AM Dikemas Kini : 11 Sep 2019 12:21AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan memberi keterangan di mahkamah jika tindakan saman fitnah terhadap editor The Online Citizen (TOC) Terry Xu dibicarakan, kerana dakwaan yang dibuat adalah "palsu sama sekali", menurut setiausaha akhbar Encik Lee dalam satu kenyataan pada Selasa (10 Sep) malam.

Perdana Menteri Lee sedang mengambil tindakan guaman ke atas editor TOC, Xu Yuanchen, juga dikenali sebagai Terry Xu, atas fitnah berhubung rencana yang diterbitkan bulan lalu yang mengulangi dakwaan yang dibuat adik-beradik Encik Lee dalam pertikaian Oxley Road.

Encik Lee memfailkan tindakan guaman itu "kerana dakwaan yang dibuat adalah palsu sama sekali", kata setiausaha akhbarnya Chang Li Lin.

"Jika ada perbicaraan, PM Lee akan memberi keterangan di mahkamah. Adik-beradiknya boleh membuat keputusan bersama Encik Xu, sama ada mereka juga akan memberi keterangan dan mengulangi dakwaan di mahkamah," kata Cik Chang dalam kenyataan itu.

"Mahkamah kemudian boleh menentukan fakta."

Rencana berjudul "PM Lee's wife, Ho Ching weirdly shares article on cutting ties with family members" atau "Isteri PM Lee, Ho Ching, secara pelik kongsi rencana tentang memutuskan hubungan dengan ahli keluarga", membuat dakwaan urutan kejadian melibatkan Perdana Menteri dan adik perempuannya Lee Wei Ling berhubung pertikaian berkaitan rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road.

Selepas beliau dihantar surat untuk memadamkan rencana itu dan catatan Facebook berkaitan, Encik Xu memadamkan rencana berkenaan pada 1 September namun memuatnaikkannya semula tiga hari kemudian.

"Saya berpendapat bahawa kandungan dalam rencana itu tidak bersifat fitnah," katanya dalam satu surat.

Para peguam PM Lee memfailkan kenyataan mendakwa bahawa rencana itu "menjejas teruk perwatakan dan reputasinya".

Dalam dokumen mahkamah yang dilihat Mediacorp, para peguam Encik Lee mendakwa bahawa rencana tersebut menyatakan bahawa PM Lee mengelirukan bapanya Encik Lee Kuan Yew untuk memikirkan bahawa 38 Oxley Road sudah diwartakan Pemerintah Singapura dan adalah sia-sia bagi Encik Lee Kuan Yew untuk bertegas ingin merobohkan rumah itu.

Adik PM Lee, Dr Lee Wei Ling, juga mengulangi dakwaan tersebut dalam satu catatan Facebook baru pada Selasa.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan