PM Kanada kunjungi pusat penjaja; rasa nadi kehidupan S'pura
Beberapa pemimpin yang menghadiri Sidang Puncak ASEAN dan masih belum pulang tidak melepaskan peluang untuk merasakan sendiri nadi kehidupan di Singapura.
SINGAPURA: Beberapa pemimpin yang menghadiri Sidang Puncak ASEAN dan masih belum pulang tidak melepaskan peluang untuk merasakan sendiri nadi kehidupan di Singapura.
Misalnya, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau berkunjung ke Pusat Makanan Adam Road pagi tadi (16 Nov).
Kebanyakan pelanggan di pusat penjaja itu agak terkejut tetapi gembira kerana dapat bertemu, berbual-bual dan bergambar dengan PM Trudeau.
Beliau singgah di pusat makanan itu selama setengah jam melihat-lihat beraneka juadah tempatan.
Meskipun kedainya sering tutup pada hari Jumaat, seorang penjual sempat membekalkan PM Kanada itu dengan beberapa bungkus nasi lemak untuk dibawa pulang ke hotelnya.
"Sebenarnya saya dapat tahu berita ini malam semalam. Kalau saya tahu siang-siang, saya akan buka kedai," kata Encik Abdul Malik, seorang penjaja di Pusat Makanan Adam Road.
Encik Sumardi Sapari, seorang lagi penjaja, pula berkata: "Ya, saya memang menanti dia datang, memang harapan saya dia datang, jadi dia dapat rasa makanan Melayu di sini dan juga dapat memperkenalkan makanan kita dan apa itu pusat penjaja."
Lawatan PM Trudeau ke pusat makanan itu bertepatan dengan usaha Singapura mendapatkan sokongan antarabangsa bagi mencalonkan budaya penjaja tempatan ke dalam senarai Warisan UNESCO.
Selain pusat makanan Adam Road, Perdana Menteri Kanada itu juga berkunjung ke Taman Fort Canning bagi menjejak sejarah keluarganya dari keturunan Farquhar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.