Pindaan ketara terhadap Kanun Keseksaan S'pura; Percubaan bunuh diri bukan satu jenayah
Kanun Keseksaan di Singapura akan disemak dan diperhalusi melalui Rang Pembaharuan Undang-undang Jenayah, yang bacaan pertamanya dibentangkan di Parlimen pada Isnin (11 Feb).
SINGAPURA: Kanun Keseksaan di Singapura akan disemak dan diperhalusi melalui Rang Pembaharuan Undang-undang Jenayah, yang bacaan pertamanya dibentangkan di Parlimen pada Isnin (11 Feb).
Antara pindaan-pindaan ketara yang disarankan pada rang tersebut adalah pemansuhan imuniti bagi kes rogol dalam rumahtangga dan lebih banyak perlindungan bagi golongan dewasa yang lemah serta kanak-kanak kecil dan tidak menjadikan perbuatan bunuh diri sebagai satu jenayah. Rang tersebut turut mengusulkan kesalahan-kesalahan baru bagi menangani jenayah-jenayah yang timbul daripada kemajuan teknologi.
Pindaan-pindaan itu diusulkan setelah Jawatankuasa Semakan Kanun Keseksaan (PCRC) selesai menjalankan semakan selama dua tahun bagi menyemak semula undang-undang dan mengusulkan saranan-saranan pada Ogos lalu.
Jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua Kewangan dan Pendidikan Indranee Rajah dan Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin.
Saranan-saranan tersebut kemudian diterbitkan online dan sesi-sesi pendampingan diadakan untuk mendapatkan maklum balas daripada lebih 700 individu berkepentingan dari sektor-sektor guaman, sosial, keagamaan, kewangan dan pendidikan, menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Ehwal dalam Negeri dan Kementerian Undang-undang pada Isnin (11 Feb).
Pemerintah sudah menimbangkan saranan-saranan dan maklum balas yang diterima dan bersetuju dengan kebanyakannya, menurut kenyataan itu lagi.
Pindaan-pindaan terhadap Kanun Keseksaan itu akan tertumpu kepada empat bidang.
-Mempertingkatkan perlindungan bagi mangsa-mangsa lemah
- Mengemas kini Kanun Keseksaan
- Memahami dasar-dasar am, penjelasan dan pembelaan dalam Kanun Keseksaan
- Menangani trend baru jenayah
BERHENTI MENGANGGAP PERCUBAAN BUNUH DIRI SEBAGAI JENAYAH
Salah satu saranan PCRC yang diterima pemerintah adalah berhenti menyifatkan percubaan bunuh diri sebagai satu jenayah.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa kebanyakan responden kepada saranan-saranan tersebut bersetuju bahawa individu yang cuba bunuh diri patut diberikan bantuan dan bukan dihukum.
Ada sebilangan kecil yang berpendapat bahawa dengan menganggap percubaan bunuh diri bukan satu jenayah ia "bercanggah dengan pandangan masyarakat yang menyifatkan setiap nyawa itu berharga".
Menjawabnya, pemerintah menyatakan bahawa pemansuhan percubaan bunuh diri "tidak bermakna bahawa (ia) sudah mengubah pendirian berhubung kesucian nyawa".
Satu lagi saranan yang diusulkan dalam Rang Pembaharuan Undan-Undang Jenayah adalah menaikkan usia minimum bagi tanggungjawab jenayah dari tujuh kepada 10 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.