Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pindaan Akta Hak Cipta: Perlindungan lebih baik bagi pencipta kandungan; pengecualian buat pendidik, penganalisis data

Pindaan itu dibentangkan di Parlimen pada Selasa (6 Jul) dan Kementerian Undang-undang (MinLaw) menyatakan perubahan yang diusulkan itu bertujuan mengukuhkan rejim hak cipta di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jul 2021 09:27PM Dikemas Kini : 06 Jul 2021 10:19PM

SINGAPURA: Pencipta kandungan dan penghibur tidak lama lagi boleh menikmati perlindungan hak cipta yang lebih baik. Sementara itu, pendidik dan penganalis data boleh mendapatkan lebih banyak pengecualian apabila menggunakan bahan-bahan hak cipta bagi tugasan mereka di bawah pindaan yang diusulkan ke atas Akta Hak Cipta.

Pindaan itu dibentangkan di Parlimen pada Selasa (6 Jul) dan Kementerian Undang-undang (MinLaw) menyatakan perubahan yang diusulkan itu bertujuan mengukuhkan rejim hak cipta di Singapura.

Ia akan memastikan Akta Hak Cipta dikemas kini berhubung bagaimana kandungan dicipta, diedar dan digunakan. MinLaw dalam kenyataannya menambah bahawa ia juga berusaha menjadikan undang-undang itu lebih mudah diakses dengan memudahkan bahasa yang digunakan.

Satu proses rundingan awam selama dua bulan dijalankan oleh kementerian itu dan Pejabat Hak Cipta Intelektual Singapura untuk mengumpul maklum balas mengenai Rang Undang-undang itu.

PERUBAHAN DIUSULKAN BAGI AKTA HAK CIPTA

1. Perlindungan lebih baik bagi pencipta dan penghibur

  • Di bawah undang-undang sekarang tidak wajib bagi pencipta atau penghibur dinamakan bagi kerja-kerja yang digunakan oleh pihak lain
  • Pencipta hanya berhak untuk mencegah pihak lain daripada diberi penghargaan secara salah bagi karya-karyanya
  • Di bawah pindaan yang diusulkan, pencipta dan penghibur harus dinamakan dan diberi penghargaan bagi karya-karya mereka yang digunakan baik secara online atau fizikal dengan cara "jelas dan cukup ketara"
  • Sebagai contoh, jika satu gambar tular online sekarang, jurugambar yang memetik gambar itu tidak boleh meminta orang yang mengongsikan gambar tersebut untuk memberi penghargaan kepadanya
  • Sekiranya pindaan yang disyorkan diluluskan, jurugambar tersebut boleh meminta namanya disebut dan mengambil tindakan sivil terhadap sesiapa yang enggan berbuat demikian
  • Pindaan yang diusulkan juga akan memberi pencipta yang ditugaskan mengambil gambar, potret, ukiran, rakaman bunyi dan filem secara automatik pemilik hasil kerja mereka itu, melainkan dinyatakan di dalam kontrak
  • Buat masa ini, pihak yang mendapatkan khidmat mereka atau majikan merupakan pemilik hasil tugasan tersebut
  • MinLaw menyatakan perubahan yang diusulkan akan memastikan bahawa golongan pencipta berada dalam kedudukan lebih baik untuk berunding dengan pihak yang mendapatkan khidmat mereka dan memaparkan serta memasarkan karya-karya mereka secara komersil bagi tujuan lain

2. Penjual khidmat dan peralatan penstriman audio-visual yang tidak mendapat kebenaran pemilik sukar elak tindakan undang-undang

  • Di bawah perubahan yang diusulkan, akan terdapat undang-undang awam dan jenayah baru terhadap peruncit serta pengedar di mana pemilik yang mempunyai hak ke atas bahan siaran boleh menyaman sesiapa yang dengan sedar menjual, mengedar atau berurus niaga kandungan tersebut
  • Misalnya, seorang penerbit filem yang mendapat tahu bahawa seorang peruncit menjual kotak 'set-top' yang memberi pengguna akses kepada filem-filemnya, tanpa kebenaran beliau, boleh mengheret peruncit berkenaan ke mahkamah di bawah pindaan tersebut

3. Pengecualian baru bagi analisis data, tujuan pendidikan

  • Di bawah pindaan diusulkan, penganalisis data akan dibenarkan untuk menggunakan karya hak cipta dalam analisis mereka tanpa perlu meminta kebenaran daripada pemilik bahan tersebut selagi ia boleh diakses mengikut undang-undang
  • Undang-undang baru itu, jika diluluskan, juga akan juga membenarkan sekolah dan pelajar untuk menggunakan secara bebas sumber-sumber online yang disediakan, termasuk gambar lelaman dan video, bagi kegunaan pendidikan tanpa perlu meminta izin daripada setiap pemilik hak cipta, selagi sumbernya diperakui dan tarikh akses tersebut dinyatakan
  • Bagaimanapun, pelajar mesti berhenti menggunakan bahan tersebut jika mereka mendapati bahawa sumber yang digunakan melanggar hak cipta

4. Pengecualian baru diberikan kepada galeri, perpustakaan, arkib dan muzium

  • Di bawah pindaan diusulkan, galeri, perpustakaan, arkib dan muzium diberi jaminan bahawa ia tidak akan melanggar hak cipta secara tidak sengaja ketika membuat salinan bagi tujuan pentadbiran seperti pemeliharaan, penyimpanan rekod dalaman serta katalog
  • Bagi kegiatan berkaitan dengan pameran - seperti meletakkan sebuah replika apabila sumber asli disimpan atau mengambil gambar sebuah lukisan bagi tujuan publisiti - institusi tersebut juga akan dibenarkan untuk berbuat demikian tanpa perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik hak cipta

5. Tarikh luput bagi perlindungan hak cipta ke atas karya-karya yang belum diterbitkan

  • Di bawah pindaan diusulkan, karya yang belum diterbitkan tidak akan lagi mendapat perlindungan hak cipta yang berterusan
  • Semua karya, sama ada diterbitkan atau tidak, tertakluk kepada tempoh perlindungan yang terhad 
Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan