Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pindaan Akta CPF diluluskan bagi permudah prosedur bayaran persaraan, tokokan

Satu Rang Undang-Undang (Pindaan) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) diluluskan di Parlimen pada Selasa (2 Nov) untuk memudahkan beberapa prosedur tokokan akaun CPF dan menerima pembayaran persaraan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 02 Nov 2021 07:28PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 09:14PM

SINGAPURA: Satu Rang Undang-Undang (Pindaan) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) diluluskan di Parlimen pada Selasa (2 Nov) untuk memudahkan beberapa prosedur tokokan akaun CPF dan menerima pembayaran persaraan mereka.

Di bawah pindaan kepada Akta CPF, Lembaga CPF akan secara automatik mengagihkan simpanan Akaun Biasa (OA) dan Akaun Khas (SA) kepada pencarum sebaik saja simpanan Akaun Persaraan (RA) mereka habis digunakan.

"Sesetengah anggota tidak sedar mereka boleh memindahkan dana itu ke dalam Akaun Persaraan mereka, dan terus menerima bayaran bulanan. Dengan pindaan ini, kami memudahkannya bagi mereka," kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng dalam ucapan di Parlimen pada Isnin.

Ini akan menjejas seramai 83,000 pencarum apabila ia berkuat kuasa pada suku pertama 2022.

Selain itu, bagi sekitar 75,000 pencarum CPF yang kini menerima bayaran CPF LIFE, mereka kini perlu memohon untuk menambah sebarang aliran masuk ke dalam Akaun Persaraan bagi pembayaran LIFE mereka. Ini akan dilakukan secara automatik setiap bulan.

Dr Tan menekankan di Parlimen pada Isnin bahawa tiada perubahan kepada peraturan sedia ada berhubung pengeluaran wang simpanan CPF secara pukal.

PERUBAHAN PADA TOKOKAN

Lembaga CPF menyatakan ia akan juga memudahkan peraturan bagi menokok Akaun Jumlah Persaraan dan MediSave, dengan perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Januari depan.

Dua perubahan utama itu melibatkan pelepasan cukai yang diberikan dan sumbangan sukarela kepada MediSave.

Buat masa ini, pelepasan cukai bagi tokokan sukarela kepada jumlah persaraan diberikan kepada pencarum yang membuat tokokan manakala pelepasan cukai bagi tokokan kepada akaun MediSave diberikan kepada penerima.

Demi "menyelaraskan peraturan" bagi kedua-dua skim, pelepasan cukai akan juga diberikan kepada pencarum yang menokok akaun MediSave, mulai tahun depan.

Ini akan menjejas had bagi pelepasan cukai, yang ditetapkan sebanyak S$8,000 secara keseluruhan bagi tokokan kepada Jumlah Persaraan dan MediSave. Had itu tidak termasuk bagi tokokan kepada akaun pencarum CPF itu sendiri dan anggota keluarga, menjadikan jumlahnya sebanyak S$16,000 setahun.

Peraturan bagi had tokokan MediSave juga akan dipermudah. Kini, pencarum perlu merujuk kepada kedua-dua Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas dan Had Tahunan CPF dan mengambil jumlah terendah daripada kedua-duanya.

Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas merupakan anggaran simpanan yang diperlukan dalam Akaun MediSave bagi keperluan jagaan kesihatan asas bersubsidi di masa tua. Kadarnya bagi Jumlah itu adalah S$63,000.

Had tahunan CPF kini adalah S$37,740 dan ia adalah jumlah maksimum yang boleh diletakkan dalam ketiga-tiga akaun dalam setahun.

Dengan pindaan itu, pencarum kini boleh membuat sumbangan sukarela ke akaun MediSave hingga Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas tanpa mengambil kira Had Tahunan. Sumbangan wajib masih tertakluk kepada had tahunan.

"Memandangkanpencarum hanya mendapat tahu jika mereka sudah mencapai Had Tahunan di setiap penghujung tahun, ini menimbulkan sedikit ketidaktentuan bagi pencarum. Justeru, had tokokan bagi pekerja akan dipermudah di mana ia hanya bergantung pada Jumlah Penjagaan Kesihatan Asas," kata Dr Tan.

Beliau menambah bahawa pada 2020, terdapat jumlah rekod tokokan dibuat menerusi Skim Persaraan Caruman Tambahan - iaitu sekitar S$3 bilion dari 140,000 pencarum.

PENGAGIHAN WANG CPF PENCARUM YANG MATI

Dr Tan juga menjelaskan perubahan lain untuk menyelaraskan pentadbiran skim CPF, menjadikannya lebih mudah untuk mengagihkan saham Singtel yang diwarisi dan wang CPF bawah S$10,000 milik pencarum yang meninggal dunia dan tidak membuat pencalonan.

Salah satu perubahan utama adalah membenarkan seorang wakil penerima untuk menerima wang CPF yang tidak dicalonkan bagi pihak semua penerima yang lain, jika mereka setuju.

Di bawah proses sekarang, semua penerima yang layak harus menghantar butiran dan dokumen sokongan ke Pejabat Pemegang Amanah Awam (PTO) di bawah Kementerian Undang-Undang (MinLaw).

MinLaw menyatakan ia menerima maklum balas bahawa proses itu melibatkan banyak masa dan boleh diselaraskan supaya ia lebih berkesan, terutama sekali bagi jumlah yang kecil.

Di bawah pendekatan baru, seorang wakil boleh dilantik untuk mewakili semua penerima yang layak dan membuat satu tuntutan bersama bagi wang simpanan CPF tidak dicalonkan milik pencarum yang meninggal dunia.

Sekiranya berlaku perbalahan berhubung pelantikan seorang wakil, PTO tidak akan meneruskan permohonan itu sehingga persetujuan dicapai dalam kalangan penerima.

Jika mereka gagal mencapai persetujuan, mereka perlu menghantar semula permohonan di bawah proses pentadbiran biasa. Ini akan dilaksanakan menjelang suku kedua 2022.

TEMPOH SIMPANAN LEBIH SINGKAT BAGI WANG SIMPANAN CPF TIDAK DITUNTUT

Dr Tan berkata dengan perkembangan itu, wang simpanan CPF yang tidak dituntut tidak lagi perlu disimpan bagi tempoh yang panjang.

Justeru, Lembaga CPF akan memendekkan tempoh masa ini dari tujuh tahun kepada enam bulan selepas pihak Lembaga dimaklumkan mengenai kematian pencarum itu.

Sekiranya seseorang yang dicalonkan tidak membuat tuntutan dalam masa enam bulan, wang itu akan dipindah keluar dari akaun CPF pencarum yang sudah meninggal dunia itu tanpa sebarang faedah dibayar selepas itu. Namun, orang yang dicalonkan itu berhak untuk menuntut wang dicalonkan itu pada bila-bila masa.

Tempoh baru itu akan berkuat kuasa mulai 1 April 2022. Dr Tan menambah bahawa sepanjang lima tahun lalu, sekitar 98 peratus daripada wang simpanan CPF diagihkan kepada penerima.  

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan