Images
  • sg covid cbd 2
    Para pekerja kelihatan di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

'Pilihan terbaik' umum langkah COVID-19 terkini menerusi siaran: Indranee Rajah

SINGAPURA: Menyiarkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengenai langkah Belanjawan COVID-19 yang kelima sebelum Parlimen dibuka adalah "pilihan terbaik", kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah pada Ahad (23 Ogos).

"Ini memberikan kedua-dua Anggota Parlimen dan orang awam masa yang mencukupi untuk menyerap isi kandungan tersebut sebelum Parlimen bersidang," kata beliau dalam satu catatan Facebook.

Komen itu dibuat bagi menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya dan rakan-rakan setugasnya tentang mengapa langkah-langkah tersebut diumumkan menerusi siaran dan bukannya disampaikan di Parlimen, kata menteri itu, yang juga Menteri Kedua bagi Kewangan merangkap Pembangunan Negara.

Beliau berkata siaran itu dilakukan supaya perniagaan dan pekerja jelas tentang rancangan Pemerintah serta untuk memberikan para Anggota Parlimen (AP) masa mencukupi bagi mempertimbangkan langkah-langkah itu sebelum Parlimen dibuka pada Isnin.

Cik Indranee menambah bahawa "banyak pekerjaan dipertaruhkan jika rancangan Pemerintah tidak jelas." Beliau menarik perhatian beberapa langkah Belanjawan sebelum ini yang hampir luput termasuk Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) yang dijadualkan berakhir pada Ogos.

Dalam kenyataan menteri pada Isnin lalu, Encik Heng melanjutkan subsidi gaji di bawah JSS untuk tujuh bulan dan mengumumkan satu inisiatif baru bagi meningkatkan pengambilan pekerja dalam sektor-sektor yang masih berkembang. Langkah-langkah tambahan itu bernilai S$8 bilion.

"AP BOLEH DAN HARUS TETAP AJUKAN SOALAN"

Cik Indranee juga berkata sekalipun kenyataan itu disiarkan, langkah-langkah baru tersebut akan tetap tertakluk kepada penilitian parlimen.

"Apabila ada langkah-langkah Belanjawan penting, amalan biasa adalah untuk mengumumkannya lebih awal. Ini memberikan AP masa untuk membentuk pandangan mereka tentang rancangan itu. Ia juga memberi orang awam masa untuk menyediakan maklum balas kepada AP mereka dan kementerian. Ini kemudian dibahaskan di Parlimen," jelasnya.

Semasa pembukaan rasmi Parlimen pada Isnin, para AP akan melantik Speaker sementara Presiden Halimah Yacob akan menyampaikan ucapannya mengenai agenda Pemerintah dan oleh itu tiada peluang bagi sebarang kenyataan menteri, kata Cik Indranee.

Para AP kemudian akan membahaskan Ucapan Presiden semasa persidangan pertama pada 31 Ogos.

"Jika kami menyampaikan kenyataan menteri pada 31 Ogos sendiri, para AP tidak akan mempunyai masa mencukupi untuk memikirkan tentang langkah-langkah itu sebelum perbahasan.

"Juga, dengan Ucapan Presiden disampaikan pada 24 Ogos, ada banyak perkara penting untuk dipertimbangkan para AP dan orang awam antara 24 dengan 31 Ogos," ujar Cik Indranee.

"Para AP boleh (dan harus) tetap mengajukan soalan dan menyuarakan pandangan mereka mengenai kenyataan menteri di Parlimen."

Cik Indranee, yang dilantik sebagai Ketua Dewan, menambah Pemerintah akan meminta kebenaran Parlimen "dalam beberapa bulan mendatang" menerusi satu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan untuk menguatkuasakan langkah-langkah yang diumumkan oleh Encik Heng.

"Jadi jangan bimbang: Pemerintah tetap bertanggungjawab dan semuanya sejajar dengan urus tadbir yang baik.

"Kami mengumumkannya lebih awal dan bukannya lebih lewat kerana ia menjejas kebajikan serta kesejahteraan orang ramai. Kami mahu memberikan masa yang mencukupi untuk penelitian dan pertimbangan yang betul," jelas menteri itu.

Beliau juga menarik perhatian bahawa langkah-langkah terkini itu akan dibiayai dengan memperuntukkan dana daripada belanjawan-belanjawan yang lalu.  

- CNA/FZ/fz

Top