Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pihak berkuasa pantau dormitori pekerja asing untuk tangani risiko setelah kes baru COVID-19 dilaporkan

Pihak berkuasa sedang memantau dormitori pekerja asing untuk menangani risiko penularan baru COVID-19, meskipun setelah semua pekerja selesai diuji.

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa pantau dormitori pekerja asing untuk tangani risiko setelah kes baru COVID-19 dilaporkan

Sebuah dormitori yang diisytiharkan sebagai kawasan pengasingan di tengah-tengah penularan COVID-19 di Singapura. (Gambar fail: Edgar Su/REUTERS)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 08:54PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 09:02PM

SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang memantau dormitori pekerja asing untuk menangani risiko penularan baru COVID-19, meskipun setelah semua pekerja selesai diuji.

"Sekarang ini sudah terdapat kejadian di mana kes baru COVID-19 dikesan di dormitori yang sebelum ini diisytiharkan bebas virus korona," menurut satu kenyataan media bersama pada Selasa (11 Ogos) oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) , Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).

"Pasukan Bertindak Berbilang Agensi (ITF) secara aktif memantau dormitori untuk menguruskan risiko penularan baru."

Mediacorp sudah menghubungi MOM bagi butiran mengenai dormitori yang melaporkan kes baru COVID-19.

LANGKAH URUS RISIKO DI DORMITORI

Pihak berkuasa menggariskan beberapa langkah untuk mengurangkan risiko jangkitan.

Antaranya, pekerja dikehendaki melaporkan bacaan suhu badan mereka dan sama ada mereka mengalami gejala penyakit pernafasan akut menerusi aplikasi FWMOMCare dua kali sehari.

Pihak berkuasa menyatakan mereka akan "mengawasi dengan teliti" jumlah pekerja asing yang mengadu sakit di pos perubatan, sebagai tanda awal kemungkinan berlaku jangkitan.

"Sekiranya pemantauan kami mengesan kemungkinan ada jangkitan dalam kalangan pekerja asing, ITF akan segera mengasingkan dan mengenakan arahan kuarantin kepada semua pekerja berisiko di dalam blok yang menempatkan pekerja yang dijangkiti sebagai langkah berjaga-jaga," kata pihak berkuasa.

"Ujian secara agresif akan dilakukan untuk mengenal pasti sebarang penularan lanjut virus."

PENGECUALIAN SEMENTARA UJIAN SWAB BAGI BEKAS PESAKIT

Pekerja yang pulih dalam tempoh kurang 90 hari tidak perlu diasingkan kerana bukti perubatan sekarang ini menunjukkan bahawa mereka masih mempunyai imuniti, menurut pihak berkuasa.

"Mereka yang sembuh selama lebih 90 hari akan secara klinikal dinilai jika mereka memerlukan ujian dan pengasingan berulang, sekiranya mereka mengalami gejala pernafasan baru," tambah mereka.

Di dormitori berisiko lebih tinggi, sisa air akan dipantau bagi kesan virus korona.

Sebagai tambahan, pekerja yang berada dalam keadaan berisiko tinggi akan menjalani ujian rutin yang kerap. Ini termasuk pekerja di sektor binaan, marin dan pemprosesan, yang diperlukan menjalani ujian swab setiap 14 hari.

"Pekerja yang pernah dijangkiti dan sudah pulih dari COVID-19 tidak perlu menjalani ujian kerap selama 180 hari," menurut pihak berkuasa.

Majikan boleh menempah slot temu janji menggunakan Sistem Pendaftaran Swab yang dilancarkan oleh HPB.

Kes di dormitori membentuk majoriti jangkitan COVID-19 Singapura.

Sebilangan besar pekerja sejak itu sudahpun pulih atau disahkan bebas dari virus korona.

"Dengan pergerakan harian meningkat keluar masuk dari dormitori, adalah lebih penting lagi bagi semua pihak untuk kekal berwaspada untuk mencegah jangkitan baru," tegas pihak berkuasa.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan