Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peta Pendaftaran Darjah 1: Ketahui bilangan tempat kosong di setiap sekolah bagi Fasa 2C

Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini - fasa terbuka pertama - dilancarkan pada Selasa (3 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Peta Pendaftaran Darjah 1: Ketahui bilangan tempat kosong di setiap sekolah bagi Fasa 2C

Gambar fail: istock

Diterbitkan : 03 Aug 2021 11:41PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 11:44PM

SINGAPURA: Fasa 2C Pendaftaran Darjah 1 tahun ini - fasa terbuka pertama - dilancarkan pada Selasa (3 Ogos).

Fasa 2C adalah bagi rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) yang tidak mendapat tempat melalui empat fasa sebelum ini, yang dikhaskan untuk pendaftaran yang diutamakan. Ini termasuk mereka dengan adik-beradik di sekolah yang dipilih atau ibu bapanya merupakan alumni sekolah tersebut.

Fasa 2C biasanya adalah yang paling kompetitif dengan jumlah sekolah tertinggi akan mengadakan undian. Tahun ini, berpuluh-puluh sekolah dijangka akan menjalankan undian berdasarkan jarak dari rumah pemohon dengan sekolah.

Sila gunakan peta ini untuk mencari sekolah rendah yang terletak paling berdekatan dengan kediaman anda.

12 SEKOLAH DENGAN 20 TEMPAT

Saban tahun, setiap sekolah memperuntukkan 20 tempat bagi Pendaftaran Fasa 2C. Daripada 181 sekolah rendah dalam sesi pendaftaran tahun ini, 12 hanya menawarkan 20 tempat bagi fasa ini.

Sekolah-sekolahnya adalah seperti berikut:

  • Sekolah Ai Tong
  • Sekolah Tinggi Katolik (Bahagian Sekolah Rendah)
  • Sekolah Perempuan CHIJ St Nicholas (Bahagian Sekolah Rendah)
  • Sekolah Rendah Holy Innocents'
  • Sekolah Rendah Nanyang
  • Sekolah Awam Pei Chun
  • Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian
  • Sekolah Rosyth
  • Sekolah Rendah Rulang
  • Sekolah Rendah South View
  • Sekolah Rendah St Hilda's
  • Sekolah Tao Nan

HAD BAGI MURID PR DI SEBILANGAN SEKOLAH

Sejak pendaftaran tahun lalu, Kementerian Pendidikan (MOE) menghadkan bilangan murid Penduduk Tetap (PR) di sesetengah sekolah bagi Fasa 2C.

Sekiranya terdapat lebih ramai pemohon berbanding tempat kosong dalam fasa ini, anak rakyat Singapura akan terus diberikan keutamaan berbanding murid PR dan akan dimasukkan terlebih dahulu sebelum jarak rumah dengan sekolah diambil kira, menurut MOE.

Had itu dilaksanakan di lapan sekolah pada tahun ini, seperti berikut:

  • Sekolah Rendah Bukit Timah
  • Sekolah Rendah Changkat
  • Sekolah Rendah Clementi
  • Sekolah Marymount Convent
  • Sekolah Rendah North Spring
  • Sekolah Rendah Opera Estate
  • Sekolah Rendah Park View
  • Sekolah Rendah Tanjong Katong

Had tersebut bertujuan untuk "mengelakkan penumpuan" murid PR di sesetengah sekolah rendah, menurut MOE dalam lamannya.

Fasa 2C berakhir sekitar 4.30 petang pada Khamis dengan keputusannya dijangka akan diumumkan pada 17 Ogos.

Rangka kerja Pendaftaran Darjah 1 sedang disemak untuk meneliti jika jumlah tempat yang diketepikan bagi murid-murid tanpa keutamaan boleh ditambah, kata menteri pendidikan ketika itu, Encik Lawrence Wong sewaktu perbahasan Belanjawan.

Pendaftaran tahun ini tidak akan terjejas dengan semakan itu, menurut MOE dalam lamannya.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan